Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail bercakap kepada media selepas hadir bagi mendengar taklimat khas mengenai kes kematian Nora Anne Quiorin di Balai Polis Pantai, Seremban, Negeri Sembilan. foto NOOREEZA HASHIM, 16 JULAI 2019.

SEREMBAN – Kerajaan Malaysia memberi jaminan akan mempermudahkan segala urusan bagi proses membawa keluar mayat warga Ireland Nora Anne Quoirin kembali ke negara asalnya.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail berkata, pihaknya juga mendapat kerjasama dengan Kedutaan Ireland di Malaysia bagi melicinkan dokumentasi proses itu.

“Apa-apa dokumentasi akan dimudahkan untuk membawa balik mayat ke luar negara dari Malaysia.

“Pihak berkuasa khususnya Kedutaan Ireland akan membantu menyediakan dokumentasi untuk melepaskan mayat keluar dari Malaysia,” katanya pada sidang media di Balai Polis Pantai, di sini, hari ini.

Terdahulu Wan Azizah selaku Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat diberi taklimat oleh Ketua Polis Negeri Sembilan, Datuk Mohamad Mat Yusop berhubung operasi mencari dan menyelamat Nora Anne sebelum ini.

Ahli Parlimen Pandan itu dalam rangka lawatannya ke Villa The Dusun untuk menemui ahli keluarga Nora Anne yang masih berada di pusat peranginan itu.

Wan Azizah juga menyifatkan nasib malang yang menimpa remaja warga Ireland, 15, sebagai satu tragedi yang menyedihkan.

“Saya amat berpuas hati dengan usaha mereka yang sangat mengerahkan semua agensi untuk cuba mengesan dia dengan sebaik mungkin

“Malangnya kejadian ini sangat menyedihkan apabila dia dijumpai dalam keadaan tidak bernyawa.

“Sekarang saya serahkan kepada siasatan untuk faktor lain yang akan ditemui oleh pihak polis dan kita ingin jadikan ia pengajaran mana-mana orang hilang seluruh negara,” katanya.

Beliau juga berkata, lebih menyedihkan apabila rombongan percutian warga Ireland itu bertukar menjadi tragedi di Malaysia.

“Sangat menyedihkan sedangkan mereka datang untuk bercuti dan bagi kes trafik berlaku saya sudah sampaikan salam takziah,” katanya lagi.

Mayat Nora Anne ditemui Selasa lalu dalam keadaan tidak berpakaian di kawasan lurah berhampiran anak sungai, 2.5 kilometer dari resort penginapan remaja itu dan keluarganya di Villa The Dusun, Pantai, di sini. – MalaysiaGazette