Menteri Pertahanan, Mohamad Sabu diiringi Panglima Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM), Jeneral Datuk Seri Affendi Buang (tiga kiri), Panglima Angkatan Tentera Darat, Jeneral Datuk Seri Panglima Ahmad Hasbullah Mohd Nawawi (tiga kanan) dan Timbalan Menteri Pertahanan, Senator Liew Chin Tong (empat kiri) mengibarkan Jalur Gemilang pada Perhimpunan dan Pelancaran Kempen Kibar Jalur Gemilang Sempena Bulan Kebangsaan 2019 di Wisma Pertahanan, Kuala Lumpur. foto IQBAL BASRI, 16 OGOS 2019

KUALA LUMPUR – Kertas Putih Kementerian Pertahanan akan dibentangkan di Dewan Rakyat pada Oktober ini.

Menteri Pertahanan, Mohamad Sabu berkata, kertas putih itu kini di peringkat akhir untuk disiapkan sebelum dirujuk di Parlimen.

“Kertas Putih Pertahanan setakat ini sudah di peringkat akhir. Kita akan bacakan dulu dan diedit untuk beberapa penambahbaikan sedikit.

“Ia kemudian akan dibentangkan pada sesi ketiga Parlimen akan datang (Oktober ini),” katanya pada sidang media selepas Perhimpunan Bulanan Kementerian dan Kempen mengibarkan Jalur Gamilang sempena Sambutan Hari Kebangsaan 2019 di Wisma Pertahanan pagi tadi.

Turut hadir Timbalan Menterinya Senator Liew Chin Tong, Ketua Setiausaha Kementerian, Datuk Seri Mohd Zuki Ali; Timbalan Panglima Tentera Laut, Laksamana Madya Datuk Khairul Anuar Yahya mewakili Panglima Tentera Laut; Panglima Tentera Udara, Jeneral Tan Sri Affendi Buang mewakili Panglima Angkatan Tentera dan Panglima Tentera Darat, Jeneral Datuk Seri Panglima Ahmad Hasbullah Mohd Nawawi.

Dalam perkembangan lain, Mohamad berkata, misi pencarian dua anggota tentera yang hilang di Pulaau Perak masijh dilakukan.

“Pihak tentera darat terus berusaha mencari kedua dua anggota itu.

“Operasi di laut dan sebagainya hanya dilaksanakan jikalau ada tanda-tanda baharu untuk diteruskan pencarian.

“Namun setakat ini tanda-tanda baharu tidak muncul lagi jadi kita akan terus usahakan terutamanya di peringkat daratan,” katanya lagi. – MalaysiaGazette