Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad, diiringi Menteri Pengangkutan, Anthony Loke bergambar kenangan bersama kakitangan Air Asia ketika hadir melawat Ibu Pejabat Air Asia di Red Q, di klia2, Sepang. foto NOOREEZA HASHIM, 16 JULAI 2019.

SEPANG – Tun Dr Mahathir Mohamad menasihati AirAsia agar memberi perhatian dalam mengurus kejayaan yang dicapai selama ini.

Perdana Menteri berkata, ini kerana kejayaan yang bermula sejak 2001 itu akan membawa harapan lebih tinggi dalam kalangan penumpang dan meletakkan syarikat penerbangan tambang murah itu perlu menjadi lebih teliti.

Jelas beliau, jika AirAsia tidak berhati-hati menyelesaikan beberapa harapan dan kritikan yang lebih munasabah, kejayaan mereka mungkin akan terhenti.

“Saya juga berharap agar AirAsia sentiasa mencabar dirinya untuk menyesuaikan diri dan menguasai teknologi baharu.

“Harapan tinggi saya supaya AirAsia tidak akan berhenti untuk terus berkembang dan mencipta banyak lagi kejayaan,” katanya.

MGF16082019_PM HADIR DI REDQ37
Tony Fernandes (dua dari kiri) dan Kamaruddin Meranun memakaikan jaket kulit yang ditempah khas untuk Tun Dr Mahathir Mohamad sambil diperhatikan oleh Anthony Loke dan Rafidah Aziz ketika perdana menteri itu melawat RedQ di klia2, Sepang. foto NOOREEZA HASHIM, 16 JULAI 2019.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis lawatan Ibu Pejabat AirAsia di RedQ, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (KLIA2) di sini hari ini.

Turut hadir, Menteri Pengangkutan, Anthony Loke dan Pengerusi Eksekutif Kumpulan AirAsia Berhad, Datuk Kamarudin Meranun dan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Kumpulan Air Asia dan AirAsia.com, Tan Sri Tony Fernandes.

Ketika sesi soal jawab bersama kakitangan AirAsia, Mahathir menyifatkan RedQ bukan pejabat yang biasa dilawati di mana-mana syarikat sebelum ini.

Ini kerana suasana dalaman pejabat itu tidak menggunakan penghadang meja di kalangan kakitangannya.

Secara berseloroh, beliau beranggapan pada mulanya AirAsia tidak mampu membeli peralatan itu.

MGF16082019_PM HADIR DI REDQ43
Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad diiringi Menteri Pengangkutan, Anthony Loke dan Pengerusi Air Asia X, Tan Sri Rafidah Aziz melawat tapak pameran ketika hadir melawat Red Q, di klia2, Sepang. foto NOOREEZA HASHIM, 16 JULAI 2019.

“Tetapi bila saya melawat pejabat pengurusan tertinggi pun sama tiada penghadang.

“Maksudnya tiada apa yang perlu disembunyikan dan berharap agar AirAsia terus transparen,” katanya yang mendapat tepukan gemuruh daripada kakitanan yang hadir.

Sebelum itu, Mahathir meluang masa melawat RedQ selama 30 minit.

Sempena lawatan rasmi itu, Perdana Menteri turut diberi kesempatan melihat pameran perjalanan masa depan syarikat penerbangan tambang murah itu.

MGF16082019_PM HADIR DI REDQ45
Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad hadir melawat Ibu Pejabat Air Asia di Red Q, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (KLIA2),Sepang. foto NOOREEZA HASHIM, 16 JULAI 2019.

Lawatan itu bermula di Makmal Inovasi apabila AirAsia memperkenalkan laman airasia.com yang kini merupakan satu platform perjalanan ‘semua dalam satu’ yang bukan sahaja menawarkan tiket penerbangan.

Malah, pelbagai tawaran gaya hidup boleh ditempah tetamu bagi semua keperluan perjalanan daripada penerbangan dan penginapan hingga pengangkutan, lawatan, hiburan dan banyak lagi di satu laman web.

Mahathir juga dibawa melihat pameran pengalaman lapangan terbang digital bermula dengan AirAsia FACES (Fast Airport Clearance Experience System) yang membolehkan tetamu mendaftar masuk secara digital, daftar masuk bagasi sendiri, pengesahan pelepasan imigresen dan masuk ke pintu pelepasan dengan hanya menggunakan teknologi pengecaman wajah.

Perdana Menteri juga menyaksikan penyelesaian kejuruteraan digital seperti teknologi blockchain dan sistem Skywise dapat menyediakan yang lebih baik, cepat dan hijau.

Mahathir turut diperkenalkan komponen-komponen penting lain dalam pelan induk AirAsia yang menawarkan pengalaman masa depan termasuk platform e-dagang OURSHOP, plafform kargo dan logistik Teleport, syarikat teknologi kewangan (Fintech) BigPay dan tawaran gaya hidup seperti Santan dan Yayasan Air Asia.

Sementara itu, kakitangan AirAsia dan AirAsia X di Malaysia secara rasminya mula berpindah ke AirAsia RedQ pada November 2016.

Bangunan pejabat berkeluasan 18,000 meter persegi itu menempatkan lebih 2,000 pekerja selain menyediakan pelbagai kemudahan termasuk pusat asuhan kanak-kanak, gimnasium, pod tidur, kafeteria dan gelongsor setinggi tiga tingkat.

Bermula dengan 200 kakitangan, AirAsia kini berkembang kepada seramai 24,000 kakitangan di seluruh dunia termasuk 8,400 daripadanya berpusat di Malaysia. – MalaysiaGazette

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here

Comment moderation is enabled. Your comment may take some time to appear.