Bangunan Kementerian Kewangan. foto HAZROL ZAINAL, 02 NOVEMBER 2018.

KUALA LUMPUR – Kabinet bersetuju supaya pendaftaran Kontraktor G1 (Bumiputera) dibuka semula pada 1 September 2019 selepas 14 tahun dibekukan.

Ini akan memberi peluang kepada kontraktor baharu Bumiputera terutamanya generasi muda yang berkelayakan teknikal untuk terlibat secara lebih aktif dalam industri pembinaan khususnya dalam mengendalikan projek kerajaan.

Berdasarkan statistik terkini, jumlah Kontraktor G1 (Bumiputera) yang telah berdaftar dengan CIDB adalah sebanyak 21,495 syarikat.

Daripada jumlah tersebut, 70 peratus adalah Kontraktor G1 (Bumiputera) yang mempunyai rekod pendaftaran melebihi 20 tahun dan keadaan ini tidak memberi peluang kepada kontraktor Bumiputera yang baharu untuk menyertai
perolehan kerajaan.

Baki 30 peratus lagi adalah kontraktor G1 (Bumiputera) yang mempunyai rekod pendaftaran di antara 3 hingga 20 tahun mengikut bidang pengkhususan masing-masing.

Kenyataan itu juga berkata, Jemaah Menteri juga bersetuju supaya had nilai penawaran kerja-kerja kerajaan yang
ditawarkan kepada Kontraktor G1 (Bumiputera) wajar dikaji semula.

Sehubungan itu, Kementerian Kewangan dan Kementerian Hal Ehwal Ekonomi serta agensi lain yang berkaitan akan memperhalusi had nilai ini dengan mengambil kira kesan kenaikan kos dalam pelaksanaan projek-projek semasa Kerajaan.

“Kajian ini bagi memastikan keutamaan dan pengukuhan penyertaan Bumiputera dalam perolehan kerajaan dari segi
nilai perolehan kontrak serta dapat merapatkan jurang pendapatan antara kaum tanpa menjejaskan ekosistem industri pembinaan negara selaras dengan prinsip Wawasan Kemakmuran Bersama. – MalaysiaGazette