Houthi menyerang medan minyak Arab Saudi yang terletak di Shaybah tetapi tidak menyebabkan kecederaan. foto WSJ

DUBAI – Serangan dron yang dilancarkan oleh kumpulan HouthiĀ  di medan minyak di timur Arab Saudi pada hari Sabtu mengakibatkan kebakaran di sebuah loji gas.

Namun, ia tidak memberi kesan kepada pengeluaran minyak, syarikat minyak negara Arab Aramco berkata.

Jurucakap tentera Houthi sebelum ini mengatakan kumpulan itu telah mensasarkan medan minyak Shaybah dengan 10 dron, yang disifatkannya sebagai “serangan terbesar” terhadap pengeksport minyak terbesar dunia.

Menteri Tenaga, Khalid al-Falih menyifatkan Shaybah sebagai “kemudahan penting”.

“Sasaran serangan ini adalah keselamatan bekalan minyak global, bukan hanya kerajaan; ia merupakan ancaman kepada ekonomi global, “katanya dalam komen yang diterbitkan oleh agensi berita rasmi Arab Saudi.

Saudi Aramco berkata, serangan itu tidak mengakibatkan kecederaan dan tiada gangguan terhadap operasi minyak.

Shaybah terletak kira-kira 1,000 kilometer dari lokasi Houthi yang menguasai barat laut Yaman.

Medan itu berhampiran sempadan Emiriah Arab Bersatu. – MalaysiaGazette