Pemangku Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Roslan Bek Ahmad

KUALA LUMPUR – Polis hari ini menahan seorang lelaki susulan laporan polis yang dibuat oleh seorang peguam berhubung ugutan ke atas dirinya di laman Facebook ekoran kenyataannya berkaitan Dr. Zakir Naik.

Pemangku Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Roslan Bek Ahmad berkata, lelaki yang bekerja sebagai penjaga stor dan pengawal keselamatan itu ditangkap pukul 2 pagi di sebuah Pangsapuri di Bandar Sri Damansara.

“Laporan telah dibuat peguam tersebut pada 15 Ogos selepas menerima ugutan berkaitan kenyataannya di dalam Facebook berhubung isu penceramah antarabangsa, Dr. Zakir Naik.

“Suspek ditahan reman selama empat hari sehingga 20 Ogos dan kes disiasat di bawah Seksyen 506 Kanun Keseksaan,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Justeru katanya, orang ramai dinasihatkan agar tidak menyebarkan serta membuat sebarang komen sensitif yang boleh membangkitkan isu perkauman dalam media sosial demi menjaga keharmonian kaum di negara ini.

Sebelum ini, sebuah portal berita melaporkan peguam tersebut mengeluarkan kenyataan supaya status penduduk tetap (PR) Zakir dibatalkan susulan kenyataan pendakwah antarabangsa itu baru-baru ini yang dianggap menghina masyarakat Cina dan India di Malaysia. – MalaysiaGazette