Dr.Zakir Naik Abdul Karim.

KUCHING – Kerajaan negeri Sarawak telah melarang pendakwah, Zakir Naik daripada memasuki Bumi Kenyalang.

Timbalan Ketua Menteri, Tan Sri James Masing serta Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan negeri, Datuk Sim Kui Hian mengesahkan larangan ke atas Zakir ketika dihubungi Sinchew Daily.

“Kerajaan Sarawak sudah secara rasminya memasukkan nama Zakir dalam senarai hitam untuk mengelakkan ekstremis agama untuk buat kacau,” kata James.

Beliau berkata, Sarawak tidak mengalu-alukan kehadiran Zakir yang mengeluarkan kenyataan berunsur hasutan dan ekstrem.

Katanya, hujahan Zakir telah merosakkan keharmonian antara kaum dan agama di Malaysia.

“Jika membenarkan golongan ekstremis memasuki Sarawak, ia akan membawa kepada penyebaran budaya tidak sihat selain merosakkan keharmonian dan perpaduan,” katanya.

Dalam pada itu, Kui Hian berkata, Kuching tidak mengalu-alukan kehadiran Zakir dan beliau juga berpendapat status pemastautin tetap pendakwah itu harus dibatalkan, seterusnya diusir.

“Sebab itulah Sarawak mahu mempertahankan autonomi. Kami tidak bertolak ansur pada dulu, sekarang dan masa depan berhubung perkara ini.

“Menerima iktibar daripada kes Zakir, kerajaan Sarawak juga harus menguasai status kerakyatan orang Sarawak,” katanya.

Tambahnya, Sarawak tidak membenarkan budaya tidak sihat Semenanjung daripada meresap ke negeri Borneo itu.

“Polisi Semenanjung yang negatif, bersifat perkauman, dan ekstrem agama menyebabkan orang Sarawak berasa bosan dan muak,” katanya.