Datuk Seri Amiruddin Shari

SEPANG – Kerajaan negeri Selangor masih menunggu penelitian terakhir Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah berhubung usul pindaan terhadap enakmen membabitkan penukaran agama bagi anak bawah umur di Selangor.

Menteri Besar Selangor, Amirudin Shari berkata, pihaknya kini menyerahkan perkara itu sebulat-bulatnya kepada Duli Yang Maha Mulia Sultan Sharafuddin untuk membuat keputusan.

Bagaimanapun dalam tempoh sama kata beliau, ada beberapa perkara lagi yang masih dibincangkan dalam mesyuarat Pakatan Harapan (PH) di peringkat negeri dan juga pusat berhubung usul berkenaan.

“Jadi, saya serah kepada institusi yang antara kepadanya iaitu Duli Yang Maha Mulia sultan sendiri.

“Yang kedua mesyuarat Pakatan Harapan di negeri-negeri dan juga di pusat dan juga ada dua tiga lagi perbincangan dengan expert supaya kita dapat rumuskan satu keputusan yang baik,” katanya ketika ditemui selepas perasmian program sempena Pesta Pantai Bagan Lalang @Sepang di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Amiruddin berkata, perbincangan dalam isu tersebut tidak boleh dibuat dengan tergesa-gesa kerana ia melibatkan spektrum yang sangat besar.

Malah, untuk memuktamadkan perkara itu juga ia turut melibatkan kepentingan daripada banyak pihak.

“Justeru, sebagai kerajaan yang adil, kita akan pastikan semua pihak akan dapat dipelihara dan dijaga di samping memelihara asal-asal yang penting seperti pentadbiran, pengurusan orang Islam dan nasib orang Melayu,” ujarnya.

Amirudin berkata demikian ketika diminta menyatakan perkembangan terkini cadangan pindaan enakmen negeri yang akan membuka jalan kepada penukaran agama kepada Islam secara sepihak.

Beliau sebelum ini memberitahu, usul tersebut berkemungkinan akan dibawa ke sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) akan datang selepas isu itu selesai dibincangkan. – MalaysiaGazette