Setiausaha Agung All India Muslim Mushawarat , Sheikh Manzoor Ahmad.

JEDDAH – Keputusan Parlimen India meluluskan undang-undang membatalkan hak autonomi rakyat Kashmir dianggap zalim dan keterbelakang dalam peradaban manusia.

Malah keputusan itu dianggap melulu kerana mendahului prosiding mahkamah yang menetapkan sebarang keputusan mengenai Artikel 370 perlembagaan negara itu.

Setiausaha Agung All India Muslim Mushawarat, Sheikh Manzoor Ahmad berkata, lebih malang kini umat Islam di Kashmir dipaksa dan didera dan pihak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) berdiam diri mengenainya termasuk Pertubuhan Negara Islam (OIC).

“Lebih teruk, pemimpin Islam Kashmir ditahan dan perkhidmatan internet dipotong bagi mengelakkan ‘pengambilalihan’ haram itu tidak tular secara meluas di mata dunia antarabangsa,” katanya yang juga wakil media mengikuti ibadah haji tajaan Kementerian Media Arab Saudi di sini baru-baru ini.

Sebelum itu, keadaan umat Islam di Kashmir itu dikatakan terdesak ada pihak menanģguk air keruh dengan memaksa umat Islam di sana menukar agama mereka, katanya yang juga penganalisis politik negara-negara Islam.

Menurut sejarah, selepas merdeka dari Britain 1947, Kashmir sebuah wilayah majoriti Islam di pergunungan Himalaya diberi pilihan samaada mahu menyertai Pakistan atau India.

Kashmir kemudiannya memilih untuk menyertai India dengan syarat diberi autonomi di bawah Artikel 370 di mana penduduknya boleh memilih ketua menterinya sendiri dan orang asing tidak boleh memiliki tanah di kawasannya.

Menurut Sheik Manzor, apabila artikel itu dihapuskan, ia bermakna gerakan India menekan orang Islam di Kashmir boleh dilakukan dan boleh melantik bukan Islam sebagai pemimpin.

Penghapusan artikel berkenaan dikatakan janji pilihanraya kerajaan India sebelum ini bagi mendapatkan sokongan pihak anti Islam di Kashmir.

Ia juga bermakna orang Hindu dari luar Kashmir boleh bermaustatin dan membeli tanah di kawasan yang terkenal dengan produk zhafaran.

Setakat ini, Pakistan sahaja menentang keras ‘penjajahan’ India itu dan mengutuk perbuatan zalim kepada orang-orang Islam di sana. – MalaysiaGazette