BUKIT MERTAJAM – Seorang lelaki yang bertindak menyamar sebagai polis sebelum menyamun seorang penyambut tetamu sebuah hotel di Jalan Permatang Batu, di sini awal pagi ini berjaya ditahan polis tidak sampai 24 jam suspek melakukan jenayah berkenaan.

Timbalan Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah (SPT), Supt Mustafa Bidin berkata, dalam kejadian kira-kira 3 pagi itu, lelaki berusia 22 tahun itu didatangi oleh suspek yang memperkenalkan diri sebagai anggota polis ketika dia sedang menghisap rokok di kawasan tempat letak kereta di hadapan hotel beliau bekerja.

“Lelaki yang menunggang motosikal jenis Yamaha 135LC itu telah meminta mangsa untuk menyerahkan beg kecil yang dipegangnya dengan alasan untuk memeriksa apa yang ada di dalamnya sama ada menyalahi undang-undang,” katanya dalam kenyataan, di sini hari ini.

Beliau berkata, lelaki itu turut meminta kad pengenalan mangsa sebelum suspek melarikan beg tersebut ketika pemuda berkenaan masuk ke dalam hotel untuk mengambil kad pengenalannya.

Menurutnya, terdapat barangan milik lelaki itu seperti beg, telefon Vivo V5 dan iPhone 7 plus serta power bank yang kesemuanya dianggarkan bernilai RM2,000 dalam beg yang disamun suspek tersebut.

Mustafa berkata, lelaki berusia 51 tahun itu berjaya ditahan di sebuah rumah di Jalan Bagan Lalang, Butterworth dekat sini selepas polis mengesannya menggunakan aplikasi Find My Phone kira-kira 10.20 pagi hari ini.

Beliau berkata, susulan penahanan lelaki itu, polis turut merampas sebuah motosikal Yamaha 135LC yang menggunakan nombor pendaftaran palsu dan siasatan juga mendapati suspek mempunyai empat rekod jenayah dan satu rekod dadah lampau.

“Siasatan lanjut masih dijalankan dan polis percaya lelaki itu turut terlibat beberapa kes lain yang menggunakan modus operandi sama iaitu menyamar sebagai polis sebelum menyamun mangsa,” katanya.

Beliau berkata, lelaki itu direman untuk siasatan lanjut dan kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan iaitu samun dan 170 kanun sama kerana menyamar sebagai polis. – Bernama