Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.

KUALA LUMPUR – “Saya sendiri tidak pernah buat kenyataan orang Cina pergi balik China tetapi beliau (Zakir Naik) datang ke sini, dia boleh cakap begitu,” kata Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad.

Menurut Dr. Mahathir, kedudukan penceramah bebas yang berasal dari India itu akan ditentukan melalui proses perundangan yang adil.

Tambahnya, sebagai seorang penduduk tetap, Zakir tidak boleh bercakap mengenai politik apatah lagi menyentuh mengenai perkauman yang merupakan isu sensitif di negara ini.

“Pertama sekali saya tidak tahu siapa yang beri status PR kepada beliau tetapi sebagai PR seseorang itu tidak boleh bercakap mengenai politik kaum.

“Dia boleh berceramah tetapi dia bercakap mengenai hantar orang Cina balik ke China, itu politik.

“Kita mesti sentiasa berhati-hati dengan apa yang kita cakap kerana ianya sensitif kepada masyarakat lain,” tegasnya.

Menurut Dr. Mahathir, kerajaan tidak pernah berniat untuk menghalang Zakir daripada mengadakan ceramah agama asalkan beliau tidak bercakap mengenai politik.

“Kita tidak mahu halang dia (daripada ceramah agama) tetapi agak jelas yang beliau mahu masuk campur politik kaum di Malaysia.

“Beliau mahu menyemarakan ketidakharmonian kaum di negara ini. Ini sesuatu yang tidak baik.

“Polis terpaksa menyiasat sama ada beliau cuba menyebabkan ketegangan kaum di negara ini atau tidak tetapi sudah jelas, beliau memang ada berbuat demikian.

“Apa jua tindakan yang akan diambil, ia akan mengikut lunas undang-undang,” katanya lagi.

Zakir Naik atau nama penuhnya Zakir Abdul Karim Naik, 54, sering mencetuskan kontroversi bagaimanapun namanya kembali hangat sejak beberapa hujung bulan lalu apabila Menteri Luar, Datuk Seri Saifuddin Abdullah mengesahkan permohonan India untuk mengekstradisi beliau.

Malaysia bagaimanapun tidak berhasrat untuk menghantar beliau malah Perdana Menteri sendiri mengesahkan Zakir tidak akan dideportasi ke India kerana beliau mungkin akan dibunuh tetapi Malaysia tidak mempunyai masalah untuk menghantarnya ke negara lain yang sudi menerima penceramah bebas itu.

Pada 8 Ogos lalu, Zakir membuat kenyataan berbaur perkauman semasa menyampaikan ceramah di Kota Bharu, Kelantan sehingga menyebabkan kerajaan terpaksa berbincang mengenai status penduduk tetap (PR) yang dipegang beliau.-MalaysiaGazette

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here

Comment moderation is enabled. Your comment may take some time to appear.