Presiden PRK merangkap Ahli Parlimen Port Dickson, Datuk Seri Anwar Ibrahim bercakap kepada media pada Majlis Konvokesyen Motivator Profesional Malaysia di Ballroom Hotel De Palma Seksyen 19, Shah Alam, Selangor. foto AFFAN FAUZI, 18 OGOS 2019

SHAM ALAM – Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan, tiada keperluan bagi beliau untuk bertemu pendakwah kontroversi, Dr Zakir Naik.

Presiden PKR itu sebaliknya menjelaskan, beliau akan membaca semua penjelasan yang dibuat penceramah kelahiran India itu terlebih dahulu.

“Selepas itu, saya akan rujuk kepada Menteri Dalam Negeri dan Perdana Menteri sebelum mesyuarat parti pada Rabu ini,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas menghadiri Majlis Konvokesyen Motivator Profesional Malaysia di Hotel De Palma di sini hari ini.

Beliau diminta mengulas sama akan bertemu Zakir yang kini mendapat desakan menteri dan pemimpin parti kerajaan supaya beliau dihantar pulang ke India kerana didakwa memperlekehkan rakyat negara ini.

Anwar yang juga Ahli Perlimen Port Dickson menambah, ia adalah isu yang boleh diperdebatkan selain masyarakat sedang marah.

Justeru, katanya, beliau merasakan ada keperluan untuk perbincangan dan pemadaman sebelum partinya menyatakan sebarang pendirian.

“Mesej saya jelas, anda perlu jelas dengan prinsip anda bahawa negara ini mempunyai sejarah, pemerintahan Melayu dan juga berbilang kaum dan agama dengan Islam sebagai agama Persekutuan.

“Kita seharusnya berpegang kepada prinsip iru dan saya tidak percaya kita harus mempunyai sentimen yang bersifat prejudis perkauman dan keagamaan.

“Saya tidak percaya Islam mempromosikan tidak bertoleransi dan ketidakadilan. Pendirian Islam sangat jelas atas prinsip keadilan dan toleransi dan saya berpandukan kepada itu,” katanya.

Sementara itu mengulas kenyataan Ahli Parlimen Pasir Gudang Hassan Abdul Karim yang mengesyorkan agar Perdana Menteri mengambil langkah berundur, Anwar berkata pendiriannya buat masa ini adalah menghormati Mahathir sebagai Perdana Menteri ketujuh.

Rabu lalu, Hassan membuat kenyataan itu susulan mendakwa Mahathir kini seolah hilang punca untuk berdepan dengan pelbagai isu terutamanya dalam. mengendalikan isu berkaitan kaum, agama dan raja. – MalaysiaGazette