Mario Balotelli

MILAN – Penyerang kontroversi, Mario Balotelli kembali ke Itali untuk menyertai kelab kampung halamannya, Brescia yang baru dinaikkan pangkat ke Serie A.

SkySports melaporkan, pemain kelahiran Itali itu yang menandatangani kontrak semalam akan diperkenalkan hari ini.

Brescia dalam satu kenyataan memberitahu, kepulangan Balotelli ke Itali selepas tiga tahun menjadi kenyataan kerana keinginan peman sendiri untuk pulang ke kota di mana dia membesar dan membina kemahiran teknikal dan fizikalnya.

Balotelli, 29, yang dilahirkan di Sicily tetapi dibesarkan keluarga angkat di pinggir kota Brescia dilaporkan bersetuju menyertai juara Serie B itu untuk tiga tahun selepas mendapat pelepasan dari kelab Perancis, Marseille.

“Akhirnya kembali ke kota saya,” tulis Balotelli dalam sosial media.

Balotelli membuat penampilan pertama bersama Lumezzane dalam Serie C pada usia 16 tahun, sebelum menyertai gergasi Serie A Inter Milan pada 2007.

Bagaimanapun penampilan sulung Balotelli bersama Brescia terpaksa menunggu lama kerana penyerang itu perlu menjalani penggantungan empat perlawanan dan dijangka beraksi pada 25 September bertemu Juventus.

Balotelli sebelum ini menolak tawaran kelab Brazil, Flamengo kerana memburu tempat dalam skuad kebangsaan Itali untuk Kejohanan Eropah (Euro) 2020.

Dia memiliki 36 cap bersama Itali, namun gagal mendapat tempat dalam skuad Azzurri bimbingan Roberto Mancini sejak September kerana tidak mencapai tahap ditetapkan jurulatih itu.

Brescia pula kembali menyertai liga tertinggi Itali itu sejak tersingkir ke Serie B pada 2011.

Kali terakhir Balotelli beraksi dalam Serie A ialah bersama AC Milan ketika dipinjamkan oleh Liverpool pada musim 2015-16. – MalaysiaGazette