Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

KUALA LUMPUR – Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata kerajaan tidak ada tanggungjawab untuk menyelamatkan syarikat Utusan Melayu (Malaysia) Berhad yang dilanda kemelut.

Menurut beliau, adalah sukar untuk kerajaan menyelamatkan syarikat surat khabar berkenaan kerana ia adalah milik swasta.

“Saya rasa sukar untuk kerajaan ambil alih Utusan kerana itu bukan tanggungjawab kerajaan dan merupakan satu syarikat swasta yang menghadapi masalah tapi saya melihat dari segi yang lebih luas.

“Saya tidak tahu cara penyelesaian dan kutip derma sementara kerana isu mendesak adalah gaji dan elaun wartawan dan pekerja.

“Tanpa mengira apa kepentingan politik dan jangan kita asyik dengan penutupan Utusan tetapi tidak terkawal kehidupan wartawan yang tidak dibayar selama berbulan-bulan,” katanya dalam sidang media selepas mengadakan siri Jelajah Presiden ke PKR Wilayah Persekutuan di Kompleks Darul Putri, hari ini.

Jelas Anwar lagi, amat menyedihkan sekiranya Utusan Melayu ditutup kerana pernah melahirkan tokoh-tokoh ternama dalam bidang kewartawanan antaranya, Zainal Abidin Ahmad (Za’aba), Rahim Kajai dan Usman Awang.

“Agak terkesal dan menyedihkan kalau Utusan terkubur.

“Saya antara mangsanya. Tetapi saya tidak fikir itu mengelirukan dan pengaruhi pandangan saya. Saya melihat Utusan dari sudut dan kerangka yang lebih luas dari segi sejarah kebangkitan rakyat, perjuangan kemerdekaan dan andai kata editorial lebih memikir kepada kepentingan semasa dan negara saya harap Utusan dapat diselamatkan,” katanya.

Akhbar Utusan Melayu (Malaysia) Berhad kini berdepan risiko penutupan operasi sekiranya gagal menjual aset dalam tempoh beberapa minggu ini. – MalaysiaGazette