Bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdul Rahman Dahlan menyatakan sokongan penuh kepada Khairy Jamaluddin Abu Bakar yang membuat keputusan untuk bertanding jawatan presiden UMNO.
Datuk Seri Abdul Rahman Dahlan.

KUALA LUMPUR – Pengumuman kerajaan PH dan Warisan mengenai persetujuan isu-isu rundingan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) tidak menepati kehendak rakyat Sabah.

Pengumuman itu amat memeranjatkan dan apa yang diumumkan jauh tersasar dari apa yang diharapkan oleh rakyat Sabah.

Malah Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Seri Abdul Rahman Dahlan berkata, daripada tujuh isu yang telah dipersetujui, isu tuntutan duti eksport balak dan hasil hutan sebenarnya telah diluluskan pada tahun 2017 semasa kerajaan Barisan Nasional (BN).

“Dari tujuh perkara yang telah dipersetujui, tidak ada satu pun yang menyentuh janji utama kerajaan Warisan iaitu soal royalti minyak 20 peratus.

“Kerajaan Warisan gagal dalam isu ini. Itulah hakikatnya. Rakyat Sabah telah tertipu,” katanya dalam kenyataan.

Isu lain membabitkan pengedaran gas dan kuasa kawal selia elektrik dan gas di Sabah, penubuhan Jawatankuasa baru untuk membincangkan mekanisme perlaksanaan projek kerajaan persekutuan di Sabah dan kebenaran kepada Sabah untuk mengujudkan perundangan subsidiari mengenai buruh.

Isu haal-hal berkaitan kesihatan di Sabah dan pentadbiran pelancongan di Sipadan dan Ligitan dan isu pertanian dan perhutanan.

Tambah Abdul Rahman, memandangkan kerajaan Warisan dan kerajaan pusat selalu mendabik dada tentang kerajaan terbuka, maka UMNO Sabah mahu semua perincian diumumkan secara terbuka.

Jelasnya, rakyat Sabah berhak untuk mengetahui apa yang sedang dituntut dan dibincang oleh kerajaan Sabah.

“Ini penting kerana semua yang dibincangkan itu akan memberi kesan besar kepada rakyat Sabah di masa hadapan.

“UMNO Sabah dengan ini mendesak supaya perjalanan proses perbincangan MA63 di antara kerajaan negeri dan kerajaan pusat didedahkan kepada umum secara berterusan,” jelasnya.

Abdul Rahman berkata, rakyat Sabah berhak mengetahui apa yang dituntut oleh kerajaan mereka dan mereka mahukan perincian tuntutan itu.

Sementara itu, Abdul Rahman memberitahu, UMNO Sabah mahu satu Jawatankuasa Khas Dewan Undangan Negeri yang diwakili wakil rakyat kerajaan dan wakil rakyat pembangkang ditubuhkan.

Katanya, kerajaan Sabah wajib memberi penjelasan dan keterangan kepada Jawatankuasa Khas ini supaya isu-isu yang dibincangkan tidak lari dari manifesto kerajaan Warisan dan PH.

Ujar beliau, dapatan Jawatankuasa Khas ini perlu diumumkan kepada rakyat Sabah. – MalaysiaGazette