Menteri Sumber Manusia, M. Kulasegaran berucap pada Majlis Konvokesyen Institusi Latihan Jabatan Tenaga Manusia (ILJTM) kali ke-24 Tahun 2019 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), Presint 5, Putrajaya. foto AFFAN FAUZI, 20 OGOS 2019

PUTRAJAYA – Sistem Insurans Pekerjaan (EIS) yang diperkenalkan oleh Kementerian Sumber Manusia boleh membantu kakitangan Utusan Malaysia untuk mendapatkan pampasan sekiranya mereka hilang pekerjaan.

Menterinya, M. Kula Segaran berkata, pihaknya tidak perlu menemui lembaga pengarah Utusan kerana bidang kuasa perniagaan bukan di bawah kuasa kementeriannya.

Sebaliknya katanya, kementeriannya hanya mengambil berat tentang hal ehwal pekerja termasuk membantu mereka yang kehilangan pekerjaan.

“(Utusan) ini adalah urusan perniagaan, sebagai kementerian yang mengambil berat terhadap pekerja, kita ada program khas untuk pekerja.

“Kalau dia dihentikan, EIS akan berperanan di situ dan kita akan bantu, kita akan sediakan CV dan dapatkan majikan untuk mereka.

“Kita banyak majikan yang boleh beri pekerjaan, tapi bukan pekerjaan yang sama mungkin kerja lain,” katanya ketika ditemui pemberita selepas Majlis Konvokesyen Institut Latihan Tenaga Kerja di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), di sini, hari ini.

Beliau mengulas risiko yang bakal dihadapi Utusan Melayu (Malaysia) Berhad termasuk berdepan risiko penutupan operasi sekiranya gagal menjual aset dalam tempoh beberapa minggu ini.

Presiden Kesatuan Wartawan Kebangsaan (NUJ) Malaysia, Mohd Taufek Razak berkata, syarikat akhbar itu memaklumkan jika aset-aset milik Utusan tidak terjual dalam tempoh terdekat ini, tidak ada jalan lain selain menutup operasi Utusan Malaysia.

Kula juga berkata, melalui EIS, kakitangan Utusan boleh dibantu untuk mendapatkan pampasan dalam tempoh enam bulan.

“Bulan pertama sebanyak 80 peratus, bulan kedua kadarnya lebih rendah daripada 80 peratus, iaitu 60, 40 dan seterusnya.

“Mereka juga akan dilatih semula dan pengambilan semula dibuat di mana temubual antara majikan baharu dibuat dan mereka ini akan diberikan keutamaan,” katanya. – MalaysiaGazette