Pekerja dan bekas pekerja Utusan Melayu (M) Bhd berpiket berhubung masalah gaji di hadapan Ibu Pejabat Utusan Melayu (M) Berhad, Kuala Lumpur. foto HAZROL ZAINAL, 19 OGOS 2019.

KUALA LUMPUR – Dakwaan Utusan Melayu (M) Berhad akan menghentikan cetakan dua akhbarnya, Utusan Malaysia dan Kosmo pada Rabu ini masih belum rasmi.

Pengerusi Kesatuan Wartawan Kebangsaan (NUJ) Cawangan Utusan Mohd Taufek Abdul Razak berkata hasil perbincangan dengan Pengerusi Eksekutif Utusan, Datuk Abd Aziz Sheikh Fadzir, pekerja hanya dimaklumkan Utusan akan ditutup sekiranya tiada jalan penyelesaian pembayaran gaji tertunggak pekerja.

“Kami diberitahu kalau tiada jalan penyelesaian, Utusan akan ditutup namun Abd Aziz tidak menyatakan tarikh sebenar tentang perkara itu. Kami mendapat tahu akan ditutup pada Rabu hanya dengar cakap daripada rakan sejawatan.

“Saya juga tidak mendapat perkembangan mengenai mesyuarat Lembaga Pengarah Utusan pada petang tadi, kami cuma dimaklumkan satu taklimat bersama Pengerusi Eksekutif (Abd Aziz) akan diadakan pada 4 petang esok,” katanya ketika dihubungi Bernama.

Jelasnya lebih 100 pekerja Utusan Melayu (M) Berhad mengadakan demonstrasi di luar ibu pejabat syarikat itu bagi menuntut tunggakan gaji selama dua hingga tiga bulan.

“Abd Aziz memberitahu, Utusan memang tidak ada duit bayar gaji untuk yang tertunggak dan pada masa-masa akan datang dan syarikat itu juga gagal melupuskan aset yang ada,” katanya.

Di SEREMBAN, Anggota Majlis Tertinggi UMNO Datuk Jalaluddin Alias hari ini mencadangkan supaya satu tabung khas diwujudkan parti bagi membela nasib pekerja Utusan.

“Khabar mengenai krisis kewangan yang melanda Utusan Malaysia merupakan satu berita menyedihkan bukan sahaja kepada pengamal media bahkan masyarakat.

“Saya juga mahu mengajak rakyat turut sama membantu memberikan derma bagi meringankan beban yang ditanggung mereka walaupun tidak banyak, sekurang-kurangnya derma kecil kita dapat membantu mereka,” kata Ahli Parlimen Jelebu itu dalam kenyataan di sini, malam ini.

Beliau dalam pada itu menuntut jawapan daripada pengurusan tertinggi Utusan mengenai masalah yang melanda syarikat akhbar berkenaan.

— BERNAMA

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here

Comment moderation is enabled. Your comment may take some time to appear.