KUALA LUMPUR – Semua ahli-ahli UMNO diminta membantu Utusan Malaysia yang kini bergelut dengan masalah kewangan dengan membeli akhbar tersebut.

Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, bantuan ahli-ahli UMNO itu bagi kakitangan syarikat akhbar itu meneruskan kehidupan.

“Saya menyerukan kepada semua orang UMNO untuk berbelanja sedikit untuk sama-sama bantu membeli akhbar Utusan Malaysia mulai esok hari..,” katanya menerusi hantaran di Facebook.

Tambahnya, sokongan itu adalah demi maruah akhbar bahasa Melayu yang sama-sama memperjuangkan kemerdekaan negara dan demi kelangsungan maruah bangsa,” ujarnya.

Hampir 800 kakitangan Utusan berisiko kehilangan pekerjaan selepas syarikat akhbar itu gagal menangani masalah kewangan hingga menyebabkan gaji para pekerja tidak dapat dibayar.

Lebih memburukkan keadaan apabila aset-aset milik syarikat berkenaan gagal dicairkan.

Namun, semalam, khabar gembira buat kakitangan Utusan selepas pengerusi eksekutifnya, Datuk Abdul Aziz Sheikh Fadzir berkata, akhbar itu akan terus beroperasi tetapi terpaksa menaikkan harga bagi menampung kos. – MalaysiaGazette