Dong Zong

KUALA LUMPUR – Persekutuan Persatuan Lembaga Pengurus Sekolah Cina Malaysia (Dong Zong)  dinasihatkan supaya meletakan ‘brek’ dalam isu pengenalan tulisan Jawi di sekolah-sekolah vernakular

Tindakan Dong Zong yang berterusan memainkan isu ini sebenarnya memburukan keadaan terutamanya kepada golongan bukan Muslim di negara ini.

Aktivis pendidikan, Sharan Raj berpendapat, seharusnya pada masa ini semua pihak perlu bertenang dan tidak cuba mempolemikkan isu secara berterusan.

“Semalam Dong Zong dalam satu kenyataan bersama lapan organisasi lain menuntut Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) untuk mendedahkan tentang pelajaran Jawi (khat).

“Pada saya, cukup-cukuplah dulu. Dong Zong patut bertenang, jangan terus jadikan ini sebagai satu isu berpanjangan kerana impaknya seolah-olah kita yang bukan Muslim nampak sangat ‘buruk’ pada pandangan orang lain kerana menentang.

“Walhal Menteri Pelajaran, Dr Maszlee Malik sudah bersetuju untuk mengurangkan bilangan halaman dari enam muka surat kepada tiga selain daripada menjadikan ianya sebagai subjek pilihan.

“Tetapi apa yang Dong Zong buat ini tidak betul, hampir setiap hari kamu tampil beri komen dan kenyataan menentang yang sebenarnya menyebabkan umum rasa tidak senang hati, sedarkah kamu tindakan ini beri pandangan buruk kepada kita yang selama ini sentiasa bertoleransi antara satu sama lain.

“Ini juga memberi kesan bahawa kita yang bukan Islam seolah-olah tidak boleh menerima budaya lain dan berfikiran ‘cetek’ kononnya kita akan kehilangan budaya kita seandainya belajar jawi. Logikah begitu?

“Maszlee sendiri telah bersetuju untuk berjumpa Dong Zong jadi mengapa kamu bercakap dengan media setiap hari? Cukup-cukuplah,” katanya kepada MalaysiaGazette sebentar tadi.

Sharan Raj
Sharan Raj

Jelas Sharan lagi, Jawi atau khat adalah sesuatu seni yang diguna pakai di merata pelusuk dunia yang bukan Arab termasuk di Afrika, Timur Tengah, India mahupun China..

“Ajaran agama dan sistem tulisan adalah perkara yang berbeza. Sebenarnya rakyat Malaysia tidak sepatutnya menolak jawi kononnya dengan alasan ianya satu konspirasi ‘Arabisasi’.

“Saya hendak tanya, perkataan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dalam logo juga merupakan karya seni khat atau Jawi. Jadi mengapa tidak ada sesiapa membuat bising tentang itu?

“Saya cadangkan, daripada terus bermain isu ini dan memberikan pandangan buruk tentang masyarakat bukan Muslim di negara seolah-olah kami penentang, adalah jauh lebih baik anda berjumpa dengan Menteri dan selesai cara baik, jangan gunakan media untuk tiupkan sentimen ini,” tegasnya. –MalaysiaGazette