Setiausaha Pengelola PKR, Nik Nazmi Nik Ahmad bercakap pada sidang media selepas Mesyuarat Biro Politik Parti Keadilan Rakyat (PKR) di Ibu Pejabat PKR, Petaling Jaya, Selangor. foto AFFAN FAUZI, 21 OGOS 2019

PETALING JAYA – PKR hari ini menghormati keputusan polis yang menghalang penceramah kontroversi, Dr. Zakir Naik untuk berceramah di negara ini.

Namun menurut Setiausaha Pengelola PKR, Nik Nazmi Nik Ahmad, Zakir tidak wajar untuk menggunakan forum untuk menyerang mana-mana kaum terutamanya Malaysia.

“Kami menyerahkan keputusan status penduduk tetap beliau kepada pihak berkuasa mengikut garis hukum dan persoalan kemanusiaan.

“Pada masa yang sama, PKR meminta semua pihak menghormati sensitiviti semua kaum dan rakyat. Kenyataan seperti menghina tentera baru-baru ini tidak harus diulangi,” katanya dalam sidang media di ibu pejabat PKR hari ini.

Menurut Nik Nazmi, perkara itu diputuskan dalam mesyuarat Biro Politik yang dipengerusikan Presidennya, Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini.

Sebelum itu, Ketua Polis Negara, Datuk Seri Abdul Hamid Bador semalam berkata, Zakir tidak dibenarkan memberi ceramah melalui semua medium termasuk media sosial.

Beliau berkata, larangan memberi ceramah di seluruh negara itu terpakai sehingga siasatan polis selesai.

Zakir sebelum ini telah diharamkan berceramah di Melaka, Johor, Selangor, Pulau Pinang, Kedah, Perlis dan Sarawak susulan daripada kenyataan berbaur perkauman yang dibuat olehnya ketika berceramah di Kota Bharu, Kelantan baru-baru ini. -MalaysiaGazette