Beberapa orang penduduk Kelantan membuat laporan polis di Balai Polis Kuala Krai semalam bagi meminta pihak berkuasa menyiasat dan mengambil tindakan tegas terhadap Caprice.

KUALA LUMPUR – Penyanyi rap, Caprice terus mendapat kecaman daripada orang Kelantan berhubung kenyataannya di laman sosial yang menyinggung penduduk negeri itu.

Meskipun beliau telah memohon maaf di atas perbuatannya namun, dakwaannya bahawa masyarakat di negeri Cik Siti Wan Kembang itu sering terpalit hal-hal negatif telah mengguris hati banyak pihak ekoran perkara itu menyentuh sensitiviti orang.

Berikutan itu, satu lagi laporan polis dibuat Kumpulan Anak Kelantan Kecewa semalam bagi menggesa pihak berkuasa menyiasat dan mengambil tindakan tegas terhadap penyanyi itu agar tindakannya yang dilihat menghasut tidak berlaku lagi pada masa akan datang.

Berdasarkan laporan yang dibuat, jurucakapnya Mohd Nor Hussain mendakwa, selain menyatakan rakyat Kelantan tidak faham bahasa Inggeris ketika mendengar ceramah yang disampaikan oleh pendakwah terkenal, Dr Zakir Naik di Stadium Muhammad IV baru-baru ini, kenyataan beliau bahawa rakyat negeri itu paling ramai menghisap dadah, membuang bayi dan pedolphilia juga dilihat telah menjatuhkan martabat rakyat Kelantan.

Malah katanya, kenyataan seperti itu boleh menimbulkan rasa takut dan gusar kepada pelancong yang ingin berkunjung ke negeri itu.

“Beliau adalah salah satu ikon belia dan terkenal bila mana apabila beliau mengeluarkan kenyataan tersebut, boleh mempengaruhi dan menjadi hasutan pada orang lain untuk tidak datang ke Kelantan.

“Tindakan beliau itu telah menimbulkan rasa kurang menyenangkan di kalangan masyarakat Kelantan,” katanya dalam laporan tersebut.

Laporan berkenaan dibuat di Balai Polis Kuala Krai susulan daripada beberapa report lain dilakukan penduduk negeri itu yang berada di ibu negara. – MalaysiaGazette