Penasihat Big Blue Taxi Facilities Sdn. Bhd, Datuk Shamsubahrin Ismail bercakap pada sidang media mengenai “Implikasi Kabinet Meluluskan Gojek” di Wisma Central, Jalan Ampang, Kuala Lumpur. foto NOOREEZA HASHIM, 22 OGOS 2019.

KUALA LUMPUR – Pembabitan Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman dalam membawa masuk perkhidmatan teksi motosikal atau Gojek ke negara ini didakwa semata-mata mahu meraih sokongan anak muda pada Pilihan Raya Umum ke-15 akan datang.

Pengasas dan Penasihat Big Blue Taxi Facilities Sdn Bhd, Datuk Shamsubahrin Ismail mendakwa, Gojek merupakan kaedah terbaik selepas manifesto Pakatan Harapan (PH) gagal menyediakan peluang pekerjaan kepada anak muda.

“Syed Saddiq tidak diterima anak muda di negara ini. Jadi dia mengharapkan Gojek supaya anak muda boleh terima dia semula.

“Bukti anak muda tolak dia pada PRK Semenyih, Syed Saddiq melalui wakilnya dari Bersatu ditolak anak muda.

“Sebaliknya anak muda terima Malu Apa Bossku (Datuk Seri Najib Tun Razak),” katanya pada sidang media di pejabatnya, di sini, hari ini.

Shamsubahrin juga menemplak alasan yang digunakan Syed Saddiq untuk memperkenalkan Gojek bagi membantu peniaga kecil di tepi jalan sedangkan beliau sendiri memperlekehkan pemikiran Jemaah Menteri.

“Alasan diberi hanya nak kelulusan dan memperlekehkan pemikiran dalam Kabinet.

“Kita nak dia buat perubahan baru bukan memundurkan kita, ini bukannya Malaysia Baharu,” tegasnya.

Shamsulbahrin juga memberi jaminan sekiranya bakal Perdana Menteri kelapan, Datuk Seri Anwar Ibrahim membantah cadangan itu, komuniti pemandu teksi itu akan menyokong beliau pada PRU15 akan datang.

“Kalau Anwar tak sokong kelulusan Gojek, saya jamin 200 peratus pemandu teksi dan E-hailing akan sokong dia.

“Kita tak nak bandar kita jadi macam Indonesia, Thailand, Kemboja sebab ini negara miskin, kita negara maju,” katanya.

Beliau turut menarik balik ancaman untuk melakukan perhimpunan besar-besaran, sebaliknya memilih untuk menggerakkan kempen menukar kerajaan menjelang PRU15 akan datang.

“Kita tak akan berdemo tapi PRU15 nanti kita akan undi kerajaan baharu.

“Kita akan berkempen tukar kerajaan dan turun ke padang bersama pembangkang jika Gojek diluluskan.

“Minggu depan saya akan berjumpa dengan tiga orang penting. Kita akan kempen kepada orang Cina supaya tidak mengundi DAP,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

1 Komen

  1. Walaupun saya tak akan menggunakan Gojek tapi tolonglah pakcik. Orang taknak teksi yang sentiasa penipu, caj mahal, tak nak guna meter, kotor, driver bau rokok, kurang ajar. Syukur ada Grab. Tak payah lagi layan karenah pemandu teksi.

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here

Comment moderation is enabled. Your comment may take some time to appear.