Sebahagian petugas media yang hadir pada awal pagi bagi menunggu kehadiran tertuduh terlibat kes pergaduhan jalan raya di Bangi di Kompleks Mahkamah Kajang, Selangor. foto SYAFIQ AMBAK, 22 OGOS 2019

KAJANG – Kompleks Mahkamah Kajang dipenuhi wartawan dan jurugambar yang menunggu kemunculan suspek kes kematian pengurus bank, Syed Muhammad Danial Syed Syakir, 29 pada 10 Ogos lalu di susur keluar Bangi ke arah selatan.

Mereka berada di hadapan Mahkamah Majistret 1 sejak pukul 8 pagi tadi.

Setakat ini ahli keluarga suspek tidak kelihatan di mahkamah dan lebih 30 wartawan serta jurufoto berkumpul untuk melaporkan perkembangan semasa kes hari ini.

Peguambela suspek dilihat cuba mengelak bertemu wartawan.

Sebelum ini, suspek dan isterinya yang berusia 36 tahun direman tujuh hari bermula 11 Ogos lalu sebelum disambung reman pada Sabtu lalu.

Pada 10 Ogos lalu Syed Muhammad Danial disahkan meninggal dunia ketika dirawat di Nilai Medical Centre pada hari kejadian.

Insiden pukul 1.40 tengah hari yang berpunca daripada kemalangan kecil antara kenderaan yang dipandu Allahyarham Syed Muhammad Danial dan suspek membawa kepada perselisihan faham sebelum mangsa dipercayai dilanggar oleh suspek selepas susur keluar Tol Bangi arah selatan. – MalaysiaGazette