Muhammad Faisal Abdul Aziz
Muhammad Faisal Abdul Aziz

KUALA LUMPUR – Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) kesal dengan sikap menongkah arus Kementerian Belia dan Sukan (KBS) dalam menjayakan usaha kerajaan memartabatkan bahasa Melayu.

Setiausaha Agungnya, Muhammad Faisal Abdul Aziz berkata, lebih menyedihkan nama sedia ada yang dianggap sudah cukup baik iaitu Hari Sukan Negara (HSN) ditukar kepada bahasa Inggeris, Malaysia Sports Challenge (MySC) oleh Timbalan Menterinya, Steven Sim Chee Keong.

Beliau berkata, ketika kerajaan Pakatan Harapan (PH) mahu memartabatkan bahasa Melayu menerusi pelaksanaan pengajaran khat Jawi adalah janggal apabila kementerian itu sendiri menongkah arus sedia ada.

“Sebagai bahasa kebangsaan yang dipelihara kedudukannya menerusi Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan dan Akta Bahasa Kebangsaan, penting untuk semua pihak peka dan sensitif penggunaan bahasa Melayu khususnya dalam program rasmi melibatkan kerajaan,” katanya dalam kenyataan kepada media di sini, hari ini.

Semalam media melaporkan, Hari Sukan Negara yang disambut setiap tahun bermula 2015 kini ditukar kepada nama baharu, Malaysia Sports Challenge mulai tahun ini.

Penjenamaan semula program itu diumumkan Steven ketika sesi taklimat kepada penaja berpotensi untuk MySC 2019 di ibu kota.

“Ini hanya penjenamaan semula dan tiada kaitan dengan tujuan lain kerana penganjurnya adalah sama iaitu Kementerian Belia dan Sukan.

“Cuma bezanya, jika Hari Sukan Negara sebelum ini disambut sehari, tetapi MySC disambut selama sebulan sepanjang Oktober ini dengan lebih banyak aktiviti diatur,” kata Steven.

Sementara itu, tegas Muhammad Faisal, isu yang menjadi perkara pokok sekarang ialah penggunaan bahasa Melayu merentas sektor yang semakin dipinggirkan.

Kata beliau, jika program rasmi kerajaan sendiri tidak memartabatkan bahasa kebangsaan, bagaimana mungkin dapat menerapkan kepentingan bahasa itu kepada agensi swasta serta masyarakat.

Oleh itu, ujarnya, ABIM menegaskan kementerian itu perlu menukar semula nama program tersebut ke dalam bahasa kebangsaan seperti ‘Cabaran Sukan Malaysia’, ‘Cabaran Malaysia Cergas’, ‘Bulan Sukan Malaysia’, ‘Bulan Sukan Negara’ atau apa juga istilah bersesuaian.

“Gunalah apa saja jenama asalkan larasnya bahasa kebangsaan yang betul,” ujarnya.

Begitu juga katanya, dengan beberapa program yang menjadikan bahasa Inggeris sebagai istilah rasmi seperti pengenalan Youth Power Club (YPC) dan Impact Malaysia serta berleluasanya kenyataan rasmi kerajaan menggunakan bahasa selain bahasa kebangsaan.

“Apatah lagi, kini kerajaan mengumumkan akan melaksanakan semula Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik Dalam Bahasa Inggeris (PPSMI), di samping Program Dwibahasa (DLP) yang sedang dijalankan sekarang di sekolah.

“Sesungguhnya, tindakan ini bagai merentap jiwa rakyat serta pendukung bahasa yang cintakan bahasa dan negaranya.

“Tindakan segera perlu diambil memandangkan hanya bangsa yang tidak mempunyai jati diri serta akar budaya sahaja akan memperlekeh bahasanya sendiri,” katanya.

Justeru, ABIM menggesa Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) diberi peranan dan kuasa lebih luas dan berkesan dalam menangani isu perlecehan bahasa Melayu yang semakin membimbangkan kini.

Malah, tiada kempen agresif mendaulatkan bahasa kebangsaan merentas sektor ditambah pula penguasaan bahasa Melayu yang lemah pada peringkat sekolah vernakular dan sekolah persendirian.

Kata Muhammad Faisal, menjelang sambutan Hari Kebangsaan 31 Ogos dan Hari Malaysia 16 September ini, penting untuk kerajaan mempertahankan kedudukan bahasa Melayu dalam perlembagaan.

Tanpa menafikan kepentingan menguasai bahasa lain, ABIM menegaskan, mentaliti penggunaan istilah bahasa Inggeris pada nama sesuatu program rasmi kerajaan untuk dilihat ‘maju’ atau ‘komersial’ merupakan gejala pemikiran terpasung serta minda yang terjajah. – MalaysiaGazette