Antara dokumen yang dibawa ke perbicaraan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak mengenai kes SRC International Sdn Bhd di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur. 14 OGOS 2019

KUALA LUMPUR – Pegawai penyiasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) hari ini mengesahkan kemasukan dana sebanyak RM642 juta dari Kementerian Kewangan Riyadh (Arab Saudi) dan Putera Faisal Turki ke dalam akaun bank peribadi Datuk Seri Najib Tun Razak.

Saksi, Penolong Kanan Pesuruhjaya (PKPj) Bahagian Operasi Khas (BOK) SPRM Rosli Husain, 54, memberitahu, dana berkenaan dimasukkan ke dalam akaun bekas perdana menteri itu yang bernombor akhir 694.

Beliau menjawab soalan  peguam Harvinderjit Singh pada hari ke-56 perbicaraan kes Najib yang menghadapi tujuh pertuduhan berkaitan penyelewengan dana SRC International Sdn Bhd berjumlah RM42 juta.

Harvinderjit juga bertanyakan mengenai undang-undang yang digunapakai SPRM sama ada AmBank menyemak dengan suruhanjaya itu sebelum membenarkan Najib mengakses dokumen banknya.

Rosli berkata, beliau tidak merujuk kepada mana-mana undang-undang tetapi menggunakan inisiatif sendiri untuk memaklumkan AmBank supaya merujuk kepada SPRM sebelum membenarkan Najib mendapatkan dokumen bank.

Harvinderjit: Saya mencadangkan, kamu mengarahkan bank supaya tidak memberi dokumen kepada pembelaan supaya pembelaan tidak dapat meneruskan kes.

Rosli: “Tidak sama sekali, Yang Arif.”

Saksi itu berkata, beliau tidak tahu nama penuh pegawai penyiasat SPRM yang mengendalikan kes 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

“Seingat saya namanya ialah Aidah, penguatkuasa kanan tetapi saya tak tahu nama penuhnya,” katanya.

Harvinderjit: Bukankah Aidah rakan sekerja kamu

“Ya, Aidah rakan sekerja saya. Tapi dia bukan isteri saya, jadi saya tak pasti nama penuh beliau,” katanya yang menyebabkan mereka yang berada dalam mahkamah ketawa.

Perbicaraan berhenti rehat untuk makan tengah hari dan bersambung pada pukul 2.45 petang. – MalaysiaGazette