Pengarah Komuniti PKR merangkap Ahli Parlimen Lembah Pantai, Fahmi Fadzil bercakap pada sidang media selepas mesyuarat Anggota Majlis Pimpinan Pusat (MPP) PKR di Ibu Pejabat PKR, Petaling Jaya. foto SYAFIQ AMBAK, 28 JULAI 2019

KUALA LUMPUR – Tuduhan pengelola Parlimen Jasin, Datuk Seri Khairuddin Abu Bakar bahawa Presiden PKR, Datuk Seri Anwar tidak menghormati konsensus Pakatan Harapan (PH) adalah tidak berasas.

Menurut Pengarah Komunikasinya, Fahmi Fadzil, tuduhan itu tidak tepat kerana jemputan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad adalah khusus buat pimpinan PH yang mula-mula terlibat dalam pembentukan Kabinet pada Mei 2018 lalu.

“Pertemuan tersebut adalah untuk mendapatkan pandangan dan maklumbalas mengenai hal ehwal perjalanan kerajaan yang menyentuh perkara-perkara portfolio dan kementerian-kementerian.

“Ini bermaksud PKR diwakili Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, yang pada ketika pembentukan kerajaan pasca PRU14 merupakan Presiden PKR.

Maka PKR berpandangan tuduhan yang dilempar Khairuddin bahawa Anwar tidak menghormati konsensus Pakatan Harapan adalah tidak berasas dan berniat jahat,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Khairuddin dalam Facebooknya menuduh Anwar sengaja tidak hadir satu mesyuarat bersama Dr. Mahathir petang semalam.

Beliau mempersoalkan motif Ahli Parlimen Port Dickson itu tidak hadir dalam mesyuarat diantara Presiden-presiden parti yang dipengerusikan oleh Dr Mahathir semalam.

“Apa penting sangat mesyuarat biro politik parti PKR bila semua sepatutnya hadir ke mesyuarat tersebut?! Mana yang lebih penting apabila perdana menteri jemput semua presiden-presiden parti komponen untuk hadir mesyuarat?!

“Inilah masalah dengan sesetengah orang bila paras ‘ego’ terlalu tinggi!!,” katanya di Facebook.

Difahamkan Anwar menghadiri mesyuarat Biro Politik PKR di ibu pejabat parti itu, petang semalam. – MalaysiaGazette