Penceramah bebas, Dr Zakir Naik hadir untuk memberi keterangan kali ketiga mengenai laporan polis beliau lima individu kerana menfitnah di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman. foto SYAFIQ AMBAK, 22 OGOS 2019

KUALA LUMPUR – Penceramah bebas, Dr Zakir Naik hadir ke Ibu Pejabat Polis, Bukit Aman petang ini untuk diambil keterangannya buat kali ketiga.

Beliau yang menaiki Toyota Innova bernombor pendaftaran VAH 9072 dilihat memasuki Ibu Pejabat Polis Bukit Aman jam 3.39 petang.

Zakir diiringi peguamnya, Datuk Akberdin Abd Kader.

Difahamkan Zakir hadir bagi memberikan keterangan berhubung laporan polis beliau terhadap lima individu termasuk Menteri Sumber Manusia, M Kulasegaran kerana didakwa memfitnahnya.

Zakir pada Jumaat lalu, bertindak membuat satu laporan polis berhubung dakwaan fitnah berdasarkan kenyataan dalam ceramahnya di Kota Bharu, sebelum ini.

Selain Kulasegaran, laporan polis yang dibuat di Balai Polis Komuniti Seksyen 7 itu, turut membabitkan empat individu lain.

Mereka ialah Ahli Parlimen Klang, Charles Santiago; Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bagan Dalam, M Satees; Timbalan Ketua Menteri II Pulau Pinang, P Ramasamy dan bekas duta Malaysia, Datuk Dennis Ignatius.

MGF220819_ZAKIR NAIK HADIR IPPBA03
Penceramah bebas, Dr Zakir Naik hadir untuk memberi keterangan kali ketiga mengenai laporan polis beliau lima individu kerana menfitnah di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman. foto SYAFIQ AMBAK, 22 OGOS 2019

Dalam laporan yang ditulis sendiri oleh Zakir, beliau turut meletakkan beberapa pautan laporan berkaitan dakwaan semua individu berkenaan.

Selasa lalu, Zakir hadir merakamkan keterangan kedua bagi menyambung keterangannya pada Jumaat lalu mengikut Seksyen 504 Kanun Keseksaan kerana menghina dan menggugat ketenteraman awam.

Sesi itu mengambil masa lebih 10 jam.

Zakir dalam ceramahnya di Kota Bharu, Kelantan pada 3 Ogos lalu dilaporkan telah membuat kenyataan kontroversi mengenai penganut Hindu dan kaum Cina di Malaysia.

Beliau mendakwa penganut Hindu di negara ini lebih setia kepada Perdana Menteri India, Narendra Modi, berbanding Perdana Menteri Malaysia Tun Dr Mahathir Mohamad. – MalaysiaGazette