Penyelaras IKWAM, Mohd Affandi Ramli (tengah), Ahli Jawatankuasa IKWAM, Affendi Mohd Salleh (kanan) dan Ahli Jawatankuasa IKWAM, Mohd Tajuddin Abdul Razak (kiri) menunjukkan memorandum membantah penukaran Kempen Hari Sukan Negara dari Bahasa Melayu kepada Bahasa Inggeris di Kementerian Belia dan Sukan, Putrajaya. foto NOOREEZA HASHIM, 23 OGOS 2019.

PUTRAJAYA – Tindakan Kementerian Belia dan Sukan yang menukarkan tema Hari Sukan Negara kepada Malaysia Sports Challenge 2019 (MySC) mencerminkan kegagalan kerajaan sekarang mengangkat bahasa kebangsaan.

Penyelaras pertubuhan Ikatan Rakyat Malaysia (IKWAM), Mohd. Affandi Ramli berkata, langkah menukar tema program daripada Bahasa Malaysia kepada Bahasa Inggeris membuktikan kerajaan tidak serius mengangkat martabat bahasa kebangsaan.

“Dalam situasi yang agak tidak selesa ini saya rasa ia satu langkah yang menimbulkan rasa tidak senang kepada masyarakat kerana sangat tidak wajar untuk kita menukar semata-mata satu istilah atas alasan remeh iaitu bahasa kebangsaan tidak berprestij.

“Kalau kerajaan tidak guna bahasa kebangsaan, siapa lagi hendak guna dan sepatutnya ada dasar yang jelas untuk meneruskan penggunaan Bahasa Malaysia dalam mana-mana program kerajaan,” katanya pada sidang media di luar pekarangan Kementerian Belia dan Sukan (KBS) hari ini.

Semalam, Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Steven Sim Chee Kiong berpendapat, penggunaan nama Malaysia Sports Challenge 2019 bukanlah tindakan merendahkan martabat penggunaan Bahasa Melayu.

Kata Ahli Parlimen Bukit Mertajam itu, nama tersebut bertujuan meluaskan capaian program itu yang merupakan inisiatif terbaharu KBS dalam usaha menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara bersukan.

Mohd. Affandi juga menegaskan agar menteri perlu mengeluarkan kenyataan yang jelas dan mudah difahami semua pihak khususnya media yang dikatakan menyalahtafsirkan kenyataan menteri terbabit.

“Selepas ini pihak kementerian dalam apa juga bentuk kenyataannya mestilah jelas, tuntas dan tidak mengelirukan awam mahupun media.

“Kenapa mesti setiap kali berlaku perkara begini, pihak media akan dipersalahkan kerana salah tafsir. Kita mahukan kenyataan yang konsisten, jelas dan difahami oleh semua rakyat Malaysia,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

1 Komen

  1. Rakyat bawahan yang mendokong kempen ‘ Minggu Bahasa Kebangsaan ‘ dan ‘ Bulan Bahasa Kebangsaan ‘ dulu hanya meratap dan menangis menyaksikan generasi mutakhir ini…..

Comments are closed.