Prof Datuk Noor Aziah Mohd Awal
Prof Datuk Noor Aziah Mohd Awal

KUALA LUMPUR – Pensyarah Fakulti Undang-undang di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof Datuk Noor Aziah Mohd Awal dilantik sebagai Pesuruhjaya Kanak-kanak.

Pejabat Perdana Menteri dalam satu kenyataan berkata, pelantikan Noor Aziah telah mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah bagi sesi 2019-2022.

“Beliau mempunyai lebih 23 tahun pengalaman dalam bidang hak asasi manusia terutamanya berkaitan hak wanita dan kanak-kanak melalui aspek perundangan.

“Pelantikan ini adalah antara langkah pembaharuan yang diambil
oleh kerajaan di dalam melindungi hak kanak-kanak. Ia berkuatkuasa mulai 27 April 2019,” demikian kata Pejabat Perdana Menteri menerusi kenyataan.

Noor Aziah sebelum ini merupakan Ahli Majlis Kebangsaan Bagi Kanak-Kanak (2017-2019) yang dipengerusikan oleh Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.

Beliau juga pernah dilantik sebagai Wakil Malaysia dalam ASEAN
Commission on the Promotion and Protection of the Rights of
Women and Children (2016-2019), dan pernah menjadi Pengerusi
bagi Majlis Perundingan Wanita Islam Malaysia (Muslim Women
Consulatative Council 2013-2019).

April lalu, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail berkata, kerajaan memutuskan untuk melantik seorang Pesuruhjaya Kanak-kanak berbanding cadangan menubuhkan sebuah Suruhanjaya Kanak-kanak bagi menyelesaikan isu-isu berkaitan perlindungan golongan itu. -MalaysiaGazette