Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad diiringi Menteri Air, Tanah dan Sumber Asli Malaysia, Yb Dr. Xavier Jayakumar melihat pokok merbau pada Perasmian Pameran Hutan Kita di Menara Kuala Lumpur. foto SYAFIQ AMBAK, 23 OGOS 2019

KUALA LUMPUR – Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad mengumumkan pokok Merbau atau Melaka sebagai Pokok Kebangsaan.

Beliau percaya semua rakyat Malaysia boleh mengambil inspirasi pokok itu sebagai simbol kebanggaan negara.

Beliau turut mengesahkan komitmen Malaysia untuk mengekalkan sekurang-kurangnya 50 peratus kawasan tanah di bawah litupan hutan selaras komitmen yang dibuat pada Sidang Kemuncak Rio Bumi pada tahun 1992.

“Hutan adalah warisan kita dan tanggungjawab bersama .

“Memelihara hutan memerlukan usaha kolektif dan berterusan sama ada individu, kerajaan, ahli akademik, sektor swasta, media, masyarakat adat dan tempatan serta organisasi antarabangsa.

“Semua orang mempunyai tugas dan kita semua perlu bersama untuk hutan negara demi generasi masa depan.

“Untuk membolehkan lebih banyak pelaksanaan pemuliharaan hutan serta mengatasi jurang dan kekangan yang dihadapi, sumber teknikal dan kewangan yang mencukupi dan penting diperlukan untuk mencapai kejayaan.

“Malaysia akan terus meneroka peluang dalam mengakses sokongan dari negara maju dan organisasi antarabangsa,” katanya.

Beliau berkata demikian pada majlis pelancaran Pameran Hutan Kita di Menara Kuala Lumpur di sini hari ini.

Turut hadir Menteri Air, Tanah dan Sumber Asli Dr Xavier Jayakumar.

Sementara itu, Mahathir yakin pameran itu akan menjadi pemangkin dalam meningkatkan kesedaran di kalangan masyarakat berhubung dengan hutan negara. – MalaysiaGazette