dav

PUTRAJAYA – Datuk Mohamaddin Ketapi sedia menghadapi sebarang kemungkinan termasuk ditukar ke kementerian lain apabila berlaku rombakan Kabinet dalam masa terdekat.

Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya itu juga sedia digugurkan daripada Jemaah Menteri kerana kementerian yang diterajuinya kini bukan milik kekal.

“Kita ini tertakluk (keputusan Perdana Menteri) kepada sebarang kemungkinan.

“Menteri tak boleh cakap kementerian dia punya tau. Dia (Menteri) masuk dan keluar,” katanya pada sidang media Prestasi Pelancongan Separuh Tahun Pertama 2019 di kementeriannya, di sini, hari ini.

Semalam, Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad menegaskan, tiada menteri baharu akan menganggotai Kabinet, sebaliknya mungkin berlaku pertukaran kecil portfolio menteri.

Menurut Dr Mahathir, beliau ada menjelaskan dalam mesyuarat Kabinet berhubung pertukaran portfolio, namun belum memutuskan bila ia akan dilaksanakan.

Dalam pada itu, Mohamaddin juga mengulangi pendirian Dr Mahathir bahawa rombakan Kabinet yang digembar-gempurkan itu hanyalah perubahan kecil portfolio Menteri sahaja.

“Yang sebetulnya itu hanyalah perubahan kecil portfolio kementerian mungkin dua tiga orang Menteri saja.

“Jadi saya tak tahu siapa yang kena dalam pertukaran ini

“Sebenarnya ia bukan rombakan Kabinet, ia hanya perubahan kecil portfolio menteri,” katanya.

Ditanya tentang dakwaan pemimpin Gerakan bahawa Mohamaddin salah satu nama Menteri yang bakal terkesan dengan rombakan itu, beliau bagaimanapun menyindir pembangkang boleh mengugurkannya daripada Kabinet.

“Saya tak kisah, kalau Gerakan nak tukar saya, mereka boleh ubah saya.

“Gerakan boleh gugurkan saya (dari Kabinet) kalau dia nak. Gerakan boleh kata apa yang dia nak.

“Saya hanya katakan apa yang Perdana Menteri kata, apa yang telah diberitahu, hanya ada perubahan kecil dalam portfolio,” katanya. – MalaysiaGazette