Najib Razak

KUALA LUMPUR – Tindakan Datuk Seri Mohamed Azmin Ali mempertahankan data kadar kemiskinan tegar yang dikeluarkan oleh Jabatan Perangkaan Malaysia membuktikan Pakatan Harapan (PH) telah memfitnah kerajaan Barisan Nasional (BN) sebelum ini.

Datuk Seri Najib Razak berkata, sejak sekian lama PH mendakwa kerajaan BN menipu tentang kadar kemiskinan negara tetap 0.4 peratus pada tahun 2016.

Bekas perdana menteri itu berkata, bertahun-tahun dan berkali-kali, PH mendakwa data itu tipu dan mendakwa ramai rakyat dalam kebuluran dan terpaksa makan pasir dan rumput kerana negara sudah bankrap.

PH tidak percaya kadar kemiskinan begitu rendah dan semakin berkurangan.

“Semalam, Azmin Ali pertahankan data untuk kadar kemiskinan tegar yang dikeluarkan oleh Jabatan Perangkaan Malaysia.

“Dia kata data ini gunakan piawaian yang diterima pakai di peringkat antarabangsa. Oleh itu, data ini adalah sah dan kadar kemiskinan tegar negara tetap 0.4% pada tahun 2016.

“Ironinya ialah sekian lama, PH kata kerajaan BN masa saya PM menipu tentang kadar kemiskinan. Bertahun-tahun dan berkali-kali, mereka kata data itu tipu.

“Tuduh saya telah gagal untuk kurangkan kemiskinan. Tapi semalam pulak, Azmin mengaku data itu bukan tipu pulak..

“Data itu sahih! Guna piagam antarabangsa”, kata Najib menerusi hantaran di Facebook.

Ahli Parlimen Pekan itu menambah, sepanjang tempoh 12 tahun sebelum beliau menjadi perdana menteri pada tahun 2009, kadar kemiskinan negara memang “degil”.

Sabah paling memerlukan perhatian masa itu, katanya.

Kadar miskin tegar di Sabah setinggi 19.7% pada tahun 2009 berbanding purata 3.9% untuk Malaysia.

Pembasmian kemiskinan dan mengurangkan jurang pendapatan memang antara objektif utama Pelan Transformasi Negara pada masa itu.

Oleh itu, banyak program, bantuan serta inisiatif dilancar antaranya, eKasih, 1Azam, BR1M, PERMATA, gaji minimum dan program-program Jabatan Kebajikan.

Najib berkata, kadar pertumbuhan ekonomi yang tinggi dan konsisten semasa beliau menjadi perdana menteri juga memainkan peranan.

Dengan itu, kadar kemiskinan tegar negara jatuh dari 3.9%pada tahun 2009 ke 0.38% pada tahun 2016.

Di Sabah, kadar itu jatuh dengan paling ketara, dari kadar 19.7% kepada 2.9% untuk tempoh yang sama.

“Sekarang Azmin kata semua data ini adalah sahih. Bermaksud Azmin puji kejayaan BN dalam usaha mengurangkan kemiskinan.

“Sekaligus, Azmin juga membuktikan bahawa PH fitnah kita selama ini.

“Tapi tak kira data itu sahih atau tidak, kerajaan BN masa saya PM memang telah berusaha kuat untuk mengurangkan jurang pendapatan dan membasmi kemiskinan,” tegasnya. – MalaysiaGazette

1 Komen

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here

Comment moderation is enabled. Your comment may take some time to appear.