KUALA LUMPUR – Dengan populasi sekitar 2 hingga 2.2 juta komuniti India di negara ini, satu lagi parti politik India dengan nama Kongres Keadilan India Malaysia (KKIM) telah ditubuhkan bagi memperjuangkan masyarakat itu semalam.

Walaupun sudah ada begitu banyak parti berasaskan kaum – sekurang-kurangnya ada 15 parti politik termasuk parti berbilang kaum di negara, ia memberi peluang kepada masyarakat India aktif berpolitik.

Itu termasuklah parti gergasi seperti MIC yang pada masa ini mendakwa mempunyai 400,000 ahli, juga Parti Keadilan Rakyat (PKR) juga di sebut-sebut mempunyai lebih ramai ahli dalam kalangan kaum India melebihi MIC.

Parti Islam seperti Pas sendiri membuka peluang kepada yang bukan Islam untuk bertanding atas tiket parti ini melalui Dewan Himpunan Penyokong Pas (DHPP), selain daripada DAP walaupun secara realiti lebih ramai Cina.

Namun ramai juga pemimpin DAP dalam kalangan India termasuk berjawatan menteri dan timbalan menteri.

Malah Menteri di Jabatan Perdana Menteri, P Waytha Moorthy sendiri meletak jawatan dalam Barisan Bertindak Hak Asasi Hindu (Hindraf) dan menubuhkan parti India dengan nama Malaysian Advancement Party (MAP) dengan asas untuk golongan ini.

Berbalik kepada KKIM, MalaysiaGazete yang sempat bertemu dengan pengasas merangkap Presiden, Shanmugam Ramiah atau mesra dipanggil Shan, memberitahu, walaupun beliau menyedari tentang semua fakta ini, pihaknya tetap merasakan parti berasaskan kaum ini menjadi satu keutamaan.

Bekas krew kabin Syarikat Penerbangan Malaysia (MAS) asas perjuangan ini adalah ‘keadilan’ malah logo parti ini sendiri secara simboliknya menyatakan demikian kerana banyak lagi isu terus menghantui.

“Sebenarnya, dengan apa yang saya lakukan dengan kerjaya mengelilingi dunia, selain daripada anak-anak saya juga berjaya manakala isteri juga dalam bidang korporat, pastinya politik adalah perkara terakhir dalam fikiran.

“Tetapi apa yang saya lalui apatah lagi saya dibesarkan di Brickfields dalam keadaan susah namun berjaya dalam kehidupan saya hari ini namun melalui pelbagai onak dan duri. Tidak cukup dengan itu, sepanjang karier saya sebagai kru kapal, banyak juga yang saya nampak.

“Benar, banyak parti politik khasnya berasaskan kaum India di negara ini, malah jangan lupa komuniti India ini juga antara pengundi terbesar untuk kerajaan Pakatan Harapan (PH) pada hari ini.

“Sebelum ini sokongan juga diberikan kepada parti-parti lain terutamanya berasaskan kaum dengan harapan perjuangan untuk kami akan tetap diutamakan namun hakikatnya kita juga sedar komuniti ini sebenarnya jauh ketinggalan dalam pelbagai aspek.

“Dari ekonomi, pendidikan sehinggalah isu-isu sosial, kita bukan ketinggalan sahaja tetapi banyak juga yang perlu dibetulkan pada masa ini, ketika ini suara yang selama ini mengatakan mereka akan berjuang mendiamkan diri.

“Ramai sebenarnya kecewa, KKIM yang berlandaskan ‘neutral’ tanpa sebarang campur tangan kerajaan mahupun pembangkang bukan di tubuhkan selepas Pilihan Raya Umum (PRU-14) sebaliknya idea ini sudah lama.

“Kerja-kerja penubuhan parti ini juga telah memakan masa hampir setahun, kita juga telah turun padang dan berjaya mengumpulkan hampir 30,000 ahli dengan cawangan seluruh negara sekitar 200 buah masa ini.

“Walaupun banyak parti India atau parti-parti lain, KKIM akan dapat sambutan seandainya kita dalam landasan yang betul, banyak isu ‘lama’ dan mungkin baru terus dihantui kita namun suara itu tidak didengari, terus diperlakukan ‘minoriti’ walaupun setiap yang muncul ini secara lantang akan bercakap dan berjanji segala macam.

“Sudah tiba masanya, jika tidak boleh lakukan walaupun ada kuasa, ada baiknya ‘kuasa ketiga’ seperti kami ini muncul, kita akan diterima, walaupun sudah berpuluh tahun namun keadaan kami masih di takuk lama.

“Banyak yang dijanjikan sebelum ini tidak juga dapat dipenuhi, alasan senang dengan menyalahkan kerajaan lama. Kerajaan lama juga tidak berjaya memenuhi kehendak walaupun setelah sekian lama, jadi siapa sebenarnya yang akan berjuang? Saya tidak tuding jari, saya hanya katakan keluh kesah dari bawah. Suara mereka.

“Saya amat yakin, jika berada di landasan betul tanpa mempersoalkan yang sudah ada, malah mungkin pada satu masa kita juga boleh bekerjasama dengan sedia ada ini kelak, kita tidak minta atau mengganggu kepentingan kaum lain, tetapi kita tidak mahu diabaikan pada masa sama,” katanya ketika ditemui di hotel Grand Dorsett malam tadi.

Presiden KKIM, Shanmugam RamiahTambah Shaan, kewujudan KKIM bukan untuk memecah belahkan perpaduan sebaliknya menguatkannya mengikut platform betul.

“Kita bukan mahu bergaduh dengan sesiapa, kita bukan musuh sesiapa,” katanya.

Jelas Shaan lagi, ketika ini pihaknya mahu menumpukan perhatian dengan menambah bilangan ahli khasnya golong muda yang sudah celik dengan politik negara dan yang boleh mengundi.

“Kita akan fokus kepada golongan ini, kita mahu tahu apa yang dikehendaki oleh mereka, isu yang perlu didengari dan bantu. Pendidikan juga adalah kepentingan kita pada masa ini. Banyak yang perlu dilakukan.

“Walaupun tidak punya kuasa, sekurang-kurangnya kita boleh ketengahkan isu-isu tertentu bagi kerajaan melakukan sesuatu. Suara itu perlu didengari, tekanan perlu diberikan jika ianya satu permintaan adil.

“Pada masa ini, kita sudah turun padang dan berharap lebih banyak penyertaan dalam tempoh dua bulan akan datang sebelum perasmian di pejabat kita di Brickfields, kita jangka sekitar Deepavali nanti.

“Sokongan yang kita terima setakat ini positif. Saya tidak mahu angkat bakul mengatakan itu dan ini, kita minta anda tengok sendiri dalam masa terdekat ini, itu sahaja,” tegasnya.

Permohonan untuk mendaftarkan KKIM telah  dibuat pada 24 April 2018 dan telah mendapat kelulusan daripada Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (ROS) pada 28 Mei tahun ini sama seperti parti Waytha. –MalaysiaGazette