Kesesakan di Kompleks Kastam Tambak Johor.

KUANTANĀ  – Menangani masalah kesesakan di Tambak Johor terutamanya pada waktu puncak menjadi keutamaan kepada Malaysia dan Singapura, kata Menteri Luar Datuk Saifuddin Abdullah.

Beliau berkata, kaedah penyelesaian kesesakan di bahagian Johor telah dibincangkan dalam Mesyuarat Jawatankuasa Khas Kabinet yang dipengerusikan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad baru-baru ini, yang juga turut meluluskan peruntukan awal berjumlah lebih RM70 juta bagi tujuan itu.

Kementerian Dalam Negeri (KDN) dipilih untuk mengetuai jawatankuasa itu memandangkan dua agensi penting di pintu sempadan negara ialah Jabatan Kastam Diraja Malaysia (Kastam) dan Jabatan Imigresen.

“Secara dasar, penyelesaian yang dirancang ialah menambah kakitangan Imigresen dan Kastam di pintu sempadan dan menambah baik sistem yang digunakan seperti penggunaan palang automatik kerana proses memeriksa satu-per-satu mengambil masa.

“Kita juga boleh menambah lorong laluan dan mungkin jika mampu, menggunakan teknologi seperti imbasan wajah namun ini melibatkan kos yang tinggi,” katanya selepas merasmikan Program ‘Trash Challenge’ di Pantai Batu Hitam di sini, hari ini.

Program anjuran bersama Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Astana di Indera Mahkota di sini dan pengusaha resort Mawar Villa itu turut dihadiri Pengarah Jabatan Pendidikan Pahang Datuk Dr Tajuddin Mohd Yunus.

Perdana Menteri Singapura Lee Hsien Loong pada sidang media bersama Dr Mahathir di Putrajaya pada 9 April lalu, juga menyatakan komitmen negaranya untuk menyelesaikan masalah itu, yang setakat ini dianggarkan antara 250,000 hingga 300,000 orang menyeberangi Tambak Johor setiap hari.

Saifuddin berkata penambahbaikan di Tambak Johor juga melibatkan pembinaan laluan pejalan kaki berkanopi atau dipanggil ‘gajah menyusur’ kerana setakat ini, laluan itu tidak berbumbung sehingga menyukarkan pengguna terutamanya semasa hujan.

“Ini adalah penyelesaian dari sebelah Malaysia dan kita berharap Singapura juga akan mencari penyelesaian di sebelah mereka supaya masalah kesesakan ini dapat diatasi,” katanya.

Pada perkembangan lain, Saifuddin yang juga Ahli Parlimen Indera Mahkota memaklumkan kerajaan Persekutuan telah meluluskan peruntukan RM2.5 juta untuk menaiktaraf Pantai Batu Hitam bagi menarik lebih ramai pelancong.

Katanya, peruntukan itu akan digunakan untuk menambah baik gerai makanan, tandas, kawasan astaka dan kemudahan parkir di situ selain merancang membina pelantar di pesisir pantai yang akan menjadi identiti pantai itu, jika dibandingkan dengan pantai peranginan lain di Kuantan.

“Kita juga sepakat untuk memiliki SMK Astana sebagai sekretariat dalam penganjuran program kebersihan yang melibatkan kawasan sepanjang 4 kilometer pantai ini, yang merupakan kawasan tarikan pelancong untuk ke sini,” katanya. – MalaysiaGazette

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here

Comment moderation is enabled. Your comment may take some time to appear.