Shahir Adnan

KUALA LUMPUR – Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman didakwa meraih populariti dengan isu Dr. Zakir Naik dan gojek.

Kedua-dua isu berkenaan dilihat memperkukuhkan kedudukan menteri muda itu sebagai Ketua Armada dalam Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).

Ketua Dewan Pemuda Ikatan Bangsa Malaysia (DPIM) Shahir Adnan mendakwa, Syed Saddiq berharap ia mendapat sokongan daripada golongan belia di negara ini.

“Kita lihat beliau (Syed Saddiq) tidak mempunyai pendirian yang kukuh di mana apa yang beliau buat untuk populariti. Kita faham beliau akan bertanding sebagai Ketua Armada jadi apa yang beliau buat untuk mendapatkan sokongan belia Bersatu,” katanya ketika sidang media hari ini.

Sebelum ini, Syed Saddiq berkata,  Zakir sepatut dihalau keluar namun semalam mengubah nadanya apabila berkata pendakwah kontroversi itu telah membuat permohonan maaf secara terbuka dan wajar dimaafkan.

Tidak cukup dengan itu Syed Saddiq juga sanggup melangkaui tugas Kementerian Pengangkutan yang sepatutnya bertanggungjawab membuat pengumuman pelaksanaan perkhidmatan teksi motosikal, gojek baru-baru ini.

“Pelaksanaan gojek ini dibuat secara terburu-buru dan kita lihat banyak kenyataan bercanggah sesama menteri. Kita hairan Syed Saddiq melakukan kerja Menteri Pengangkutan (Anthony Loke).

“Pertama, Menteri Pengangkutan kata hendak buat kajian terlebih dahulu tapi Syed Saddiq langakau keputusan tersebut,” katanya lagi.

Syed Saddiq, tambah beliau, tidak sepatutnya tergopoh-gapah untuk menggunakan kabinet meluluskan dasar yang memerlukan kajian secara terperinci khususnya melibatkan keselamatan awam.

“Sepatutnya ia dilakukan kajian terlebih dahulu sebab melibatkan keselamatan orang awam. Kita negara membangun mempunyai pengangkutan awam yang baik.

“Isu yang perlu dilihat juga adalah insurans motor, apa akan jadi kalau berlaku kemalangan? Syed Saddiq hanya mendapatkan popular,” katanya lagi.

Justeru, DPIM menegaskan, pihaknya tidak setuju dengan pelaksanaan perkhidmatan teksi motosikal kerana bimbang pelaksanaannya tidak mengambilkira pelbagai aspek secara menyeluruh.

Dalam pada itu kenyataan terbaharu Syed Saddiq yang mempertahankan pelantikan seramai 13 Pemuda Bersatu sebagai pegawai Kementerian Belia dan Sukan turut diselar DPIM.

Tambah Shahrir, alasan yang diberikan bahawa Ketua Aramada itu tidak mampu mengawal kecenderungan sokongan politik kakitangannya.

“Alasan yang diberikan adalah sangat rapuh dan tidak patut. Sebelum pilihan raya mahu kerajaan telus, tidak ada lantikan politik, tapi sekarang beliau melantik majoriti daripada parti beliau sendiri,” ujar Shahir. – MalaysiaGazette