Lim Guan Eng

BUTTERWORTH  Syarikat kontraktor yang disyaki berkomplot dalam bidaan projek kerajaan perlu dikenakan tindakan sekiranya dakwaan itu wujud, kata Menteri Kewangan Lim Guan Eng.

Beliau berkata tindakan itu sememangnya adalah satu kesalahan dan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) menerusi Suruhanjaya Persaingan Malaysia (MyCC) perlu mengambil tindakan sewajarnya jika mereka berkomplot dalam mendapatkan tender projek kerajaan dengan nilai kontrak yang tinggi.

“Kalau ada kartel, itu tidak diizinkan kerana kita mahu satu persaingan yang adil. Tidak harus ada mana-mana konspirasi daripada pihak-pihak tertentu untuk tekankan harga supaya dapat memihak kepada mereka. Ini bukan tekankan harga lebih rendah, ini untuk pastikan mereka boleh dapat kontrak kerajaan kerana mereka buat kartel supaya dia punya harga lebih dekat, mirip syarikat-syarikat mereka.

“Saya rasa sekiranya ada kes-kes sedemikian harap boleh dilaporkan bukan sahaja kepada kerajaan tapi harus dilaporkan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) kerana ini adalah satu kesalahan.

“Ini di bawah KPDNHEP, saya percaya Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail sebagai menteri bertanggungjawab, dia akan ambil tindakan,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Karnival Merdeka dan Komuniti Bagan bersempena Bulan Kebangsaan di Sekolah Kebangsaan Sungai Puyu, di sini hari ini.

Sebuah akhbar tempatan hari ini mendedahkan sekurang-kurangnya 10 projek kerajaan bernilai jutaan ringgit, kini dalam siasatan MyCCC kerana syarikat yang memenangi tender itu disyaki berkomplot dalam bidaan hingga menyebabkan ketirisan dana awam.

Laporan itu turut menyebut siasatan berkenaan dibuat susulan aduan dan maklumat diterima MyCC mengenai taktik kontraktor dan pembekal yang membentuk komplot dalam pakatan untuk membuatkan sesuatu nilai kontrak menjadi lebih tinggi.- BERNAMA