Juruteknik syarikat telekomunikasi terkejut jumpa mayat dalam beg pakaian ketika memeriksa kabel milik syarikatnya di Seksyen 27 Shah Alam awal pagi tadi.

KUALA LUMPUR – Seorang juruteknik syarikat telekomunikasi yang sedang sibuk menjalankan kerja-kerja pemeriksaan kabel bawah tanah terkejut selepas menemui sebuah beg pakaian dengan kesan darah dan bau busuk.

Rupa-rupanya beg pakaian berkenaan mengandungi mayat di dalam parit di Persiaran Kuala Selangor, Seksyen 27 di Shah Alam dekat sini.

Kemudiannya juruteknik berusia 40 tahun itu menghubungi Pusat Kawalan Ibu Pejabat Polis Daerah Shah Alam.

Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Baharudin Mat Taib berkata, bertindak atas panggilan sekitar 5.55 pagi itu, polis pasukan Forensik dari Ibu Pejabat Kontinjen Shah Alam dan Unit Anjing K9 bergegas ke lokasi kejadian untuk menjalankan penyiasatan.

Katanya, pada hari ini, jam sekitar 5.30 pagi, semasa juruteknik bersama rakan setugas lelaki India sedang menjalankan kerja-kerja memeriksa kabel bawah tanah milik syarikat di jalan tersebut terhidu bau busuk datang daripada sebuah beg pakaian yang terbuka di dalam parit.

“Dia telah turun ke dalam parit untuk menjalankan siasatan mendapati ada darah di sekitar beg dan kelihatan bentuk badan disyaki manusia lalu terus menghubungi polis.

“Pasukan Forensik IPK Selangor dan Unit Anjing K9 telah hadir di tempat kejadian membantu siasatan dan mayat dijumpai di dalam parit tidak berair berkedalaman 9 kaki dan 9 kaki lebar di tepi Jalan Persiaran Kuala Selangor (arah ke Shah Alam) 200 meter dari simpang tiga lampu isyarat dengan Jalan Persiaran Klang.

“Mayat dijumpai dalam beg pakaian berwarna coklat (saiz lebar 17 inci, panjang 2 kaki dan tebal 11 inci) jenama Safari manakala kepala mayat dibungkus dengan plastik hitam,” katanya dala kenyataan petang tadi.

Tambah beliau, mayat disyaki wanita berkulit cerah itu memakai baju bercorak bunga dan gelang halus berwarna kuning ditemui pada salah satu tangan simati.

Menurut beliau, bangsa dan umur simati belum diketahui dan disyaki telah mati dalam tempoh tiga hari dan dilihat sempurna.

Justeru, katanya polis tidak menemui sebarang dokumen pengenalan diri atau lain lain bersama mayat atau di dalam beg tersebut.

“Mayat telah dihantar ke Hospital Klang dan proses bedah siasat akan dijalankan esok pukul 10 pagi dan setakat ini simati dijangka berusia antara 20 hingga 30-an.

“Kes disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan (Bunuh) dan butir-butir lanjut simati belum dapat disahkan lagi.

“Malah, senarai Orang Hilang (OH) juga sedang dalam siasatan polis sementara menyeru orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian supaya menghubungi Pegawai Penyiasat Kes, ASP Daniel Lee di talian 019-6820550 (HP), 03-55202222 (pejabat),” tegasnya.- MalaysiaGazette