PUSPAL menjelaskan penganjur mula menjual tiket Konsert SPB Live In Concert sebelum memohon kelulusan pihak berkuasa menyebabkan mereka berdepan kesulitan dan kemudian membenarkan masa diunjurkan awal ke 3 petang sebagai membantu penganjur yang sudah menjual tiket dan segala persiapan.

KUALA LUMPUR – Jawatankuasa Agensi Pusat Permohonan Penggambaran Filem dan Persembahan Artis Luar Negara (PUSPAL) tidak pernah memberi sokongan untuk persembahan SPB’s Live In Concert Illaya Nila di KLCC Plenary Hall pada 31 Ogos ini.

Sebagai maklumbalas kepada kenyataan Raaghav Productions berhubungan perubahan masa persembahan itu, PUSPAL sebagai agensi bawah Kementerian Komunikasi dan Multimedia berkata, permohonan daripada penganjur untuk mengadakan konsert tersebut pada jam 7 malam hanya diterima pada 31 Julai lalu.

Kata PUSPAL, berdasarkan maklumat daripada penganjur yang dikemukakan kepada Jabatan Kemajuan Agama IslamĀ  (JAKIM) melalui surat bertarikh 13 Ogos lalu didapati jualan tiket untuk konsert tersebut sebenarnya telah bermula dari bulan Mac lagi iaitu sebelum permohonan tersebut dikemukakan kepada PUSPAL.

“PUSPAL ingin mengingatkan pihak penganjur tidak sepatutnya memulakan jualan tiket untuk sebarang acara sebelum kebenaran pihak berkuasa yang berkenaan diperoleh termasuklah surat sokongan daripada PUSPAL.

“Permohonan tersebut telah ditolak berdasarkan pandangan dan nasihat JAKIM supaya pemohon dapat meminda tarikh konsert tersebut kepada tarikh lain yang lebih sesuai kerana tarikh 1 Muharam bermula pada terbenamnya matahari pada 31 Ogos 2019 sehingga terbenamnya 1 September 2019.

“Penganjur kemudian telah mengemukakan rayuan dan menjelaskan mereka telah memulakan penjualan tiket dan membuat perbelanjaan untuk konsert tersebut sebelum kelulusan itu diperoleh.

“Bagi membantu penganjur dengan mengambil kira kesulitan yang telah mereka alami kerana telah memulakan jualan tiket sebelum mendapat kelulusan,PUSPAL telah bersetuju untuk membenarkan mereka untuk mengadakan konsert pada 31 Ogos 2019 tetapi masanya diawalkan ke jam 3 petang sehingga 7 malam,” kata agensi itu dalam satu kenyataan hari ini.

Tambah PUSPAL, penganjur telah bersetuju dengan perkara berkenaan dan menyatakan tidak wajar untuk mewujudkan persepsi yang kurang menyenangkan yang konsert tersebut telah diubah masa atas arahan PUSPAL.

Tegas PUSPAL sekali lagi, para penganjur tidak sepatutnya memulakan jualan tiket dan promosi untuk apa jua acara sebelum kelulusan diperoleh kerana sekiranya tidak, acara tersebut tidak akan dibenarkan untuk diadakan.

“Perlu diingatkan para penganjur yang tidak mematuhi peraturan yang ditetapkan dan meneruskan tindakan tanpa memperoleh surat sokongan rasmi JK-PUSPAL adalah di atas risiko penganjur.

“Dalam kes ini, adalah tidak wajar untuk mana-mana pihak menyalahgunakan keputusan PUSPAL yang meluluskan rayuan penganjur untuk mengadakan konsert tetapi diawalkan masanya, terhadap PUSPAL,” tegasnya lagi.- MalaysiaGazette