Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad (tengah) bercakap sesuatu dengan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Mohamaddin Ketapi (kiri) dan sambil diperhatikan Pengarah Eksekutif di Pertubuhan Pelancongan Sedunia (UNWTO), Zhu Shanzhong (kanan) selepas menyempurnakan gimik perasmian pada 'Persidangan Pelancongan Sedunia 2019' di Hotel Shangri-La, Kuala Lumpur. foto SYAFIQ AMBAK. foto SYAFIQ AMBAK, 26 OGOS 2019

KUALA LUMPUR – Kerajaan akan mewujudkan Zon Khas Pelaburan Pelancongan di seluruh negara di bawah Dasar Pelancongan Kebangsaan baharu.

Menurut Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad, zon-zon tersebut akan diberikan insentif khusus bagi menarik pelaburan sektor infrastruktur serta pelaburan baharu berasaskan teknologi dalam bidang pelancongan.

“Malaysia ketika ini sedang berusaha untuk menuju ke arah teknologi digital dalam pembangunan pelancongan.

“Kita juga sedang mengorak langkah dalam digitalisasi menyeluruh untuk mengubah industri pelancongan Malaysia kepada inisiatif-inisiatif pelancongan pintar.

“Kita percaya dengan mengadaptasi keseluruhan spektrum digitalisasi, kita akan mampu menyediakan peralatan yang diperlu dalam industri pelancongan supaya boleh disaling hubung di peringkat antarabangsa di samping menyediakan analisis data dalam bidang pelancongan pada masa hadapan serta memendekkan rantaian nilai,” kataya semasa berucap merasmikan Persidangan Pelancongan Dunia 2019 di sini hari ini.

Yang turut hadir, Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Mohamaddin Ketapi.

Menurut Mahathir, dapatan Inisiatif Transformasi Digital Forum Ekonomi Dunia menunjukkan, digitalisasi dalam pelancongan dijangka menyumbang sehingga AS$305 bilion (RM1.28 trilion) menerusi peningkatan keuntungan menjelang 2025.

Ia juga akan menjana faedah bernilai AS$700 bilion bagi perniagaan dan masyarakat. – MalaysiaGazette