Gambar hiasan

SEPANG – Pengendali lapangan terbang, Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB) membuat satu laporan polis berhubung gangguan sistem di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) sejak Rabu lalu.

Ketua Polis Daerah KLIA, Zulkifli Adamsah mengesahkan pihaknya menerima laporan daripada seorang pengurus kanan bahagian teknologi maklumat MAHB hari ini.

“Polis akan menjalankan siasatan mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan,” katanya di sini hari ini.

Seksyen 427 Kanun Keseksaan merujuk perbuatan khianat yang memperuntukkan hukuman penjara minimum setahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Jumaat lalu, MAHB dilaporkan berkata kegagalan rangkaian dikenal pasti sebagai punca gangguan sistem di KLIA dan ia mengambil langkah untuk menggantikan peralatan rangkaiannya.

Gangguan sistem itu menjejaskan fungsi utama seperti sambungan WiFi, sistem paparan maklumat penerbangan, kaunter daftar masuk dan sistem pengendalian bagasi.

Zulkifli berkata, tiada bukti diserahkan kepada polis semasa laporan itu dibuat.

— BERNAMA