Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (LHDNM) menafikan pembentangan kertas putih bertajuk “Siapa kata bangsa Cina & India banyak bayar cukai dekat kerajaan” yang melibatkan laporan sumbangan cukai berdasarkan komposisi kaum dan bangsa di Malaysia di Parlimen seperti yang tular di media sosial.

LHDNM dalam kenyataannya berkata, Prosedur Operasi Standard LHDNM, maklumat pembayar cukai dan data kutipan cukai tidak disimpan berdasarkan komposisi kaum dan bangsa.

Sehubungan itu, LHDNM ingin menegaskan bahawa data yang
ditularkan melalui media sosial tersebut adalah tidak benar dan bukan dari sumber LHDNM.

Sebaliknya, data dan maklumat mengenai pembayar cukai yang direkodkan dalam sistem LHDNM dikategorikan mengikut komponen pembayar cukai yang melibatkan cukai individu dan syarikat.

Menurut LHDNM, data dan maklumat mengenai pembayar cukai ini boleh disemak di portal rasminya di www.hasil.gov.my > Laporan Tahunan LHDNM dan juga siaran media Kementerian Kewangan Malaysia di pautan https://www.treasury.gov.my/index.php/galeri-aktiviti/siaran-media/item/4835-siaranmedia-pencapaian-kutipan-cukai-langsung-bagi-tahun-2018.html

Justeru, LHDNM menasihatkan orang ramai agar tidak menyebarkan sebarang maklumat yang tidak tepat dan sahih bagi mengelakkan kekeliruan dan salah faham demi kebaikan bersama.

Untuk sebarang maklumat lanjut, sila layari portal rasmi LHDNM di www.hasil.gov.my atau hubungi Hasil Care Line (HCL) di talian 1800-88-5436. – MalaysiaGazette