Jumlah perdagangan Malaysia pada April 2018 meningkat 11.7 peratus tahun ke tahun kepada RM155.42 bilion berbanding penurunan sebanyak 3.5 peratus pada Mac, menurut Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI).
Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Malaysia telah membuat penentuan awal berkenaan siasatan anti lambakan besi atau keluli bukan aloi gegelung-gelungan sejuk (CRC) dengan kelebaran melebihi 1300mm yang diimport dari China, Jepun, Korea Selatan dan Vietnam.

Siasatan di bawah Seksyen 23 Akta Duti Timbal Balas dan Anti Lambakan 1993 (Akta) mendapati ada bukti yang mencukupi untuk meneruskan siasatan terhadap pengimportan produk berkenaan dari negara-negara berkenaan.

Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) dalam satu kenyataan berkata, kerajaan juga telah memutuskan untuk mengenakan duti anti lambakan sementara dalam bentuk jaminan bank yang bersamaan dengan nilai margin lambakan yang telah dikenal pasti dalam penentuan awal.

Duti anti lambakan sementara di antara sifar hingga 26.39 peratus akan dikenakan ke atas import dagangan, tertakluk dari negara-negara berkenaan dan akan berkuatkuasa bagi tempoh tidak melebihi 120 hari mulai 27 Ogos 2019.

Duti anti lambakan ini tidak akan dikenakan ke atas tin mill black plate dan dagangan subjek yang diimport bagi maksud penggunaan akhir automotif dan finwall untuk transformer.

Tambahnya, penyiasatan telah dimulakan selaras dengan Akta dan Peraturan-Peraturan Duti Timbal Balas dan Anti Lambakan 1994 pada 29 Mac 2019 berdasarkan petisyen yang difailkan oleh Mycron Steel CRC Sdn. Bhd. (Pempetisyen) yang mewakili industri tempatan yang mengeluarkan produk serupa.

Pempetisyen mendakwa CRC yang berasal atau dieksport dari negara-negara berkenaan telah diimport ke Malaysia pada harga yang lebih rendah daripada harga yang dijual di pasaran domestik negara-negara tersebut.

Pempetisyen mendakwa keadaan ini telah menyebabkan kemudaratan material kepada industri tempatan di Malaysia.

Penentuan muktamad akan dilakukan tidak lewat daripada 24 Disember 2019.

Pihak berkepentingan seperti pengimport, pengeluar/pengeksport asing dan persatuan-persatuan berkaitan dengan penyiasatan boleh  mendapatkan  salinan  versi  tidak  sulit  laporan mengenai Penentuan Awal dengan membuat  permohonan  bertulis  kepada MITI. – MalaysiaGazette