Dr. Asyraf Wajdi

KUALA LUMPUR – Kerajaan Pakatan Harapan (PH) semakin merealisasikan peningkatan hutang negara sebanyak RM1 trilion apabila perdana menteri tidak menolak untuk menerbitkan Bon Samurai siri baharu bagi membiayai projek dan program Kerajaan Persekutuan.

Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dasuki berkata, pihaknya berasa pelik dengan kerajaan yang mahu menerbitkan lagi Bon Samurai meskipun kadar tukaran Yen Jepun dan Ringgit Malaysia kini pada RM3.97 bagi setiap 100 Yen dan mata wang itu semakin mengukuh berbanding Ringgit.

Ironi, pada bulan Mac 2019, Kerajaan Persekutuan telah berjaya menerbitkan Bon Samurai bernilai 200 billion Yen bersamaan RM7.4 billion, walaupun beberapa pihak mempertikaikan rasional keputusan tersebut, lantaran hanya memfokuskan kepada kadar faedah pinjaman yang rendah iaitu 0.65 peratus, sedangkan terdedah kepada risiko kadar pertukaran Yen yang tinggi.

Malah, baru-baru ini Gabenor Bank Negara Malaysia, Datuk Dr Nor Shamsiah Mohd Yunus mendedahkan hutang luar negeri Malaysia kini berada pada paras RM931.1 billion atau 61.3 peratus dari Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) pada akhir Jun 2019 dan daripada jumlah ini sebanyak RM636.1 billion atau 68.3 peratus dari jumlah hutang luar negeri adalah hutang matawang asing.

“Keputusan ini jelas menimbulkan banyak persoalan mengapakah kerajaan begitu beriya-iya untuk menerbitkan hutang di luar negara seperti Bon Samurai, Bon Panda dan mungkin akan ada bon terbaharu akan diperkenalkan?

“Bukankah cadangan tambahan Bon Samurai terbaru ini hanya akan meningkatkan hutang luar negeri dan juga meningkatkan risiko naik turun kadar matawang bagi hutang-hutang ini, sekali gus nilai muktamad pinjaman berkenaan di masa hadapan, dan paling pokok.

“Bukankah fokus utama pentadbiran PH khususnya Menteri Kewangan Lim Guan Eng adalah mengurangkan hutang negara?,” soalnya yang mahu kerajaan tidak meneruskan hasrat untuk menambah hutang negara yang akan menyebabkan ekonomi negara parah kini semakin memudaratkan.

Asyraf berkata, apa yang pasti, sandiwara Lim Guan Eng dan Kerajaan PH semakin terserlah, hakikatnya merekalah yang bertanggungjawab merealisasikan apa yang sering dimomokkan bahawa hutang negara RM1 trilion. – MalaysiaGazette