Menteri Pembangunan Usahawan, Datuk Seri Mohd Redzuan Yusof mendengar penerangan daripada pegawai Datsonic untuk mencuba mesin imbasan passport semasa mengadakan lawatan kerja ke Datasonic Technologies Sdn Bhd di Petaling Jaya, Selangor. foto AFFAN FAUZI, 27 OGOS 2019

PETALING JAYA – Menteri Pembangunan Usahawan, Datuk Seri Mohd Redzuan Md Yusof akan mencadangkan kepada Kerajaan Persekutuan untuk mewujudkan atau meminda akta sedia ada bagi memperuntukkan hukuman kepada warganegara Malaysia yang tidak mematuhi Perlembagaan negara.

Beliau berkata, langkah itu untuk memastikan rakyat disemai dengan identiti bangsa Malaysia dan bukan lagi mengikut kaum dalam masyarakat majmuk di negara ini yang kerap kali ditafsirkan sebagai perkauman.

“Saya akan terus mencadangkan kepada kerajaan untuk memastikan satu akta diwujudkan atau akta sedia ada diperhalusi supaya melibatkan hukuman-hukuman tertentu kepada sesiapa yang tidak mengikut Perlembagaan.

“Kita kena jujur kepada diri sendiri, untuk bawa identiti bangsa Malaysia. Saya pernah mendengar pemimpin kata bangsa Malaysia tapi mereka sendiri tak menjunjung apa itu bangsa Malaysia menurut Perlembagaan

“Apabila tiadanya kefahaman Perlembagaan itu sendiri, maka timbul golongan-golongan yang mementingkan perkauman,” katanya pada sidang media selepas lawatan kerja ke Datasonic Technologies Sdn Bhd, di sini, hari ini.

Sebelum ini, seorang wartawan Cina memalukan industri media apabila gagal menjawab tentang Perlembagaan ketika ditanya Mohd Redzuan pada sidang media sempena Minggu Usahawan Nasional 2019 (MUN2019) di Menara Berkembar Bank Rakyat, Kuala Lumpur, 19 Ogos lalu.

Mohd Redzuan juga menegaskan bahawa kerajaan perlu mengetengahkan identiti bangsa Malaysia berbanding tiga bangsa utama di negara ini iaitu Melayu, Cina dan India bagi mengelakkan timbulnya isu perkauman.

“Pada saya, kita kena memperlihatkan apa dia bangsa Malaysia, kaum Melayu berbangsa Malaysia kan? Anda faham Perlembagaan kan, Faham Rukun Negara

“Kalau itu kita terangkan kepada semua masyarakat tentang apa bangsa Malaysia, saya rasa isu perkauman tak timbul.

“Jadi pemimpin-pemimpin politik sekalipun ketua-ketua jabatan kerajaan kena memastikan orang faham apa itu bangsa Malaysia.

“Bila kurang kefahaman, maka timbul isu perkauman yang kita lihat hari ini. Kita lihat balik siapa diri kita sebagai bangsa Malaysia sebagai identiti.

“Siapa yang mahu menjunjung bangsa Malaysia, kena bertanggungjawab,” katanya. – MalaysiaGazette