Bangunan Kementerian Kewangan di Putrajaya.

KUALA LUMPUR – Kerajaan Negeri Perak tidak pernah memohon pengecualian duti/cukai atas perolehan kereta Toyota Camry import kepada Kementerian Kewangan.

Berikutan itu, tiada kelulusan pernah diberikan kepada Kerajaan Negeri Perak berhubung pengecualian tersebut.

Oleh itu, dakwaan bahawa Kerajaan Negeri Perak mendapat pengecualian duti/cukai yang tidak diluluskan kepada Kerajaan Negeri Pulau Pinang adalah tidak benar.

Kementerian Kewangan dalam kenyataan hari ini menjelaskan bahawa ada menerima permohonan daripada Kerajaan Negeri Pulau Pinang pada 4 Mac 2019 untuk pengecualian duti/cukai atas perolehan Toyota Camry import tersebut tetapi tidak dipertimbangkan, selaras dengan dasar semasa yang berkuat kuasa.

Malah, tambahnya, permohonan dari Kerajaan Negeri Selangor juga telah diterima pada 28 November 2018 dan keputusan yang sama dibuat di mana pengecualian duti/cukai tersebut juga tidak dipertimbangkan.

Jelas Kementerian Kewangan keputusan itu adalah selaras dengan dasar kerajaan yang menetapkan perolehan kereta saloon/motokar jenis pemasangan tempatan (CKD) sahaja layak menikmati pengecualian duti/cukai di bawah perintah-perintah berikut:
(i) Butiran 7 dan 8 Perintah Duti Eksais (Pengecualian) 2017; dan
(ii) Butiran 3, 4 dan 5 Perintah Cukai Jualan (Orang Yang Dikecualikan Daripada
Pembayaran Cukai) 2018.

Manakala perolehan kereta saloon / motokar jenis import (CBU) yang dibuat oleh mana-mana Jabatan Persekutuan dan Negeri tidak layak menikmati pengecualian duti/cukai di bawah perintah tersebut.

Ia selaras dengan dasar perolehan Kerajaan yang memperuntukkan perolehan kenderaan jabatan hanya boleh dibuat melalui pengilang tempatan atau kenderaan pemasangan tempatan (CKD) kecuali jika terdapat keperluan khusus kepada jabatan berkenaan seperti Pekeliling Perbendaharaan Malaysia PK 7.3.

Jelasnya, perolehan Toyota Camry (CKD) oleh Kerajaan Negeri Pulau Pinang pada tahun 2013 telah mendapat pengecualian duti/cukai melalui perintah di atas kerana model tersebut merupakan kereta saloon/motokar jenis CKD ketika itu.

Bagaimanapun memandangkan model tersebut tidak lagi dipasang dalam negara, perolehan Toyota Camry import oleh Kerajaan Negeri Pulau Pinang pada tahun ini tidak layak menikmati pengecualian duti/cukai melalui perintah di atas. – MalaysiaGazette