Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad bergambar kenangan bersama sebahagian kakitangan pada Majlis Perjumpaan Bulanan dan Pelancaran Bulan Kemerdekaan Kementerian Kesihatan di Kementerian Kesihatan Malaysia, Putrajaya. foto IQBAL BASRI, 27 OGOS 2019

PUTRAJAYA – Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) berkata penularan demam campak melibatkan Orang Asli suku Batek dari Kampung Kuala Koh dan Kampung Aring 5, Gua Musang, Kelantan sudah terkawal sepenuhnya.

Perkara itu disahkan Ketua Sektor Penyakit Cegahan Vaksin dan Penyakit Bawaan Air KKM, Dr Aishah Senin apabila kesemua kanak-kanak di kawasan itu sudah disuntik vaksin demam campak, beguk dan rubella (MMR).

“Penularan demam campak di Kuala Koh terkawal dan Kementerian Kesihatan sudah melakukan imunisasi tambahan kepada kanak-kanak Orang Asli di semua kawasan terjejas.

“Di Kuala Koh setakat ini kita boleh kata 100 peratus kanak-kanak Orang Asli telah disuntik,” katanya ketika ditemui Malaysia Gazette pada Himpunan Bulanan KKM di Kementerian Kesihatan, hari ini.

Pada Jun lalu, Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata, sebanyak 37 daripada 112 Orang Asli suku Batek, Kampung Kuala Koh, Gua Musang, Kelantan, yang dilaporkan mengalami gejala jangkitan saluran pernafasan, didapati dijangkiti wabak demam campak.

Beliau berkata, sebanyak 37 kes demam campak itu disahkan melalui ujian makmal manakala keputusan ujian makmal yang lain seperti tuberkulosis, meliodosis, leptospirosis dan corona virus adalah negatif.

Seramai 12 Orang Asli di Kampung Kuala Koh meninggal dunia ekoran wabak berkenaan. -MalaysiaGazette