Dr. Zaharudin Abd Rahman

KUALA LUMPUR – Dr. Zaharuddin Abd. Rahman antara sembilan pengawal selia Jawatankuasa Khas Kewangan Islam (JKKI) yang dilantik serta merta hari ini.

Kementerian Kewangan Malaysia dalam satu kenyataan mengumumkan penubuhan JKKI selaras dengan hasrat kerajaan untuk terus mempromosi dan menggalakkan pembangunan kewangan Islam seperti yang diumumkan dalam ucapan Belanjawan 2019 yang lepas.

Penubuhan JKKI bermatlamat untuk mengukuhkan hala tuju
mempromosi Malaysia sebagai peneraju global dalam kewangan Islam terutamanya dalam pasaran sukuk serta mengukuhkan usaha menjadikan Malaysia sebagai pusat kecemerlangan dalam kewangan Islam.

Ia juga mengekalkan negara ini sebagai penyedia perkhidmatan sokongan kewangan Islam utama di peringkat global.

“Selain itu, JKKI juga akan menyelaras peranan dan tanggungjawab semua pihak berkepentingan ke arah meningkatkan industri kewangan Islam di Malaysia, selain memperkukuhkan peranan sektor awam sebagai pemacu industri kewangan Islam serta menggalakkan usaha untuk meningkatkan kesedaran awam dalam kewangan Islam,” kata kenyataan yang sama.

JKKI dipengerusikan oleh Timbalan Menteri Kewangan,
Datuk Amiruddin Hamzah dan dianggotai oleh pengawal selia
serta pakar-pakar kewangan Islam tempatan.

Selain Zaharuddin yang juga Ahli Jawatankuasa Syariah Kumpulan Wang Simpanan Pekerja, Pengerusi Majlis Penasihat Bank Negara Malaysia, Datuk Dr. Mohd Daud Bakar dan Presiden Association of Islamic Banking and Institutions Malaysia, Datuk Adissadikin Ali juga dilantik sebagai pengawal selianya.

Selain itu, Ketua Pegawai Eksekutif, Maybank Islamic Berhad Datuk Mohd Rafique Merican Mohd Wahiduddin Merican, Pengerusi Majlis Amanah Rakyat, Dr. Hasnita Hashim dan imbalan Pengarah, Pembangunan Pasaran Modal Islam, Suruhanjaya Sekuriti Malaysia, Dr. Md Nurdin Ngadimon dan Jabatan Perbankan Islam dan Takaful, Bank Negara Malaysia, Madelena Mohamed juga dilantik.

Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia, Datuk Mohammad Nordin Ibrahim dan Presiden, Malaysian Takaful Association, Muhammad Fikri Mohamad Rawi juga dilantik.- MalaysiaGazette