Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamaruddin (tengah) diiringi Ikon Kayuhan Wanita, Datuk Seri Datuk Siti Nurhaliza (dua kanan belakang) bergambar bersama sebahagian peserta wanita pada Kayuhan Wanita 2019 Penggerak Dasar Komuniti Negara di Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), Putrajaya. foto SYAFIQ AMBAK, 28 OGOS 2019.

PUTRAJAYA – Surat permintaan tidak dilayan menjadi faktor utama kenapa Naib Presiden PKR, Zuraida Kamaruddin tidak hadir mesyuarat parti sejak kebelakangan ini.

Beliau menjelaskan, sebanyak tiga pucuk surat telah dihantar kepada Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebelum ini.

“Mungkin awal boleh saya cakap ada berapa perkara yang kita buat permintaan kepada presiden (Anwar) yang belum lagi dapat beliau tunaikan. Itu maklumat awal.

“Permintaan itu untuk kita berbincang dan masa ini belum dilayan selepas tiga surat yang kami keluarkan kepada pejabat presiden.

“Surat pertama, beliau jawab ke Mekah dan kami beri surat kedua untuk permintaan pertemuan lagi dengan beliau.

“Surat ketiga kita sudah keluarkan Isnin lepas masih lagi minta pertemuan dengan presiden dalam kalangan dengan ahli Majlis Pimpinan Pusat yang terpilih dalam pemilihan parti,” katanya selepas merasmikan Program Kayuhan Wanita 2019 di kementerian di sini hari ini.

Turut hadir artis nombor satu negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza yang dipilih ikon program itu.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Ampang diminta mengulas ketidakhadirannya lagi pada mesyuarat Biro Politik PKR pada minggu lalu.

Ditanya seolah-olah wujud dua kem iaitu hadir dan tidak hadir mesyuarat dalam PKR ketika ini, Zuraidah berkata, parti perlu bergerak ke hadapan dengan duduk berbincang.

“Surat diberikan belum ada maklum balas. Ada dua kenyataan dari Farhash (Setiausaha Politik Anwar) dan Saifuddin (Setiausaha Agung PKR) seolah-olah macam tidak tahu Anwar terima surat itu.

“Itu saya tak tahu (sudah bincang dengan Datuk Seri Mohamed Azmin Ali), ini boleh dakwa, itu boleh dakwa. Siapa cakap yang benar,” katanya. – MalaysiaGazette