Abdul Rahman Ahmad

KUALA LUMPUR – Spekulasi Datuk Abdul Rahman Ahmad akan meninggalkan Permodalan Nasional Berhad (PNB) semakin hangat selepas beliau dipercayai akan menemui kakitangan institusi pelaburan itu petang ini.

MalaysiaGazette difahamkan pertemuan Presiden dan Ketua Eksekutif PNB itu akan dibuat jam 5 petang ini.

Namun, setakat berita ini ditulis PNB belum mengeluarkan sebarang kenyataan.

Khabar angin mengenai kedudukan Abdul Rahman ‘bertiup kencang’ sejak dua minggu lalu selepas beberapa media melaporkan kedudukannya di PNB ‘goyah’.

Meskipun begitu tiada kenyataan daripada PNB yang menyangkal  spekulasi tersebut.

Abdul Rahman dilantik menerajui PNB pada 1 Oktober 2016 menggantikan Tan Sri Hamad Kama Piah Che Othman yang bersara.

Kontraknya dijangka tamat akhir September ini.

Beliau dikatakan akan dilantik sebagai Pengerusi Kumpulan Sime Darby Berhad, anak syarikat PNB.

Kedudukan Abdul Rahman pula dikatakan bakal diisi oleh Jalil Rasheed, Pengarah Pelaburan Invesco Asset Management Singapore Ltd.

Jika perubahan itu berlaku, Abdul Rahman adalah eksekutif tertinggi kedua meninggalkan PNB selepas Tan Sri Abdul Wahid Omar yang mengakhiri perkhidmatannya pada akhir Jun 2018, dua bulan selepas Pilihan Raya Umum Ke-14.

Tempat Abdul Wahid digantikan dengan Tan Sri Zeti Akhtar Aziz. – MalaysiaGazette