Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamaruddin bercakap pada Kayuhan Wanita 2019 Penggerak Dasar Komuniti Negara di Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), Putrajaya. foto SYAFIQ AMBAK, 28 OGOS 2019.

PUTRAJAYA – Ahli PKR bebas membuat laporan polis kerana parti itu mengamalkan dasar terbuka namun Naib Presiden PKR, Zuraida Kamaruddin berkata, apa yang penting laporan dibuat itu mesti berasas.

“Saya ingat sesiapa hendak buat laporan kerana dasar terbuka.

“Sesiapa hendak buat laporan, dia boleh buat tapi laporan atau aduan itu berasas atau tidak itu, perkara kedua,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas merasmikan Program Kayuhan Wanita 2019 di sini hari ini.

Beliau yang juga Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan diminta mengulas tindakan beberapa ahli PKR Kapar yang membuat laporan polis ke atas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad yang menggunakan perkataan ‘pariah’.

Laporan itu dibuat oleh ahli PKR bernama V. Maneyvannan bersama tiga lagi individu lain di Balai Polis Sungai Kapar dekat Klang semalam.

Dia mendakwa Mahathir menggunakan perkataan yang didakwa mengguris hati masyarakat India.

Sebelum itu, Mahathir dilaporkan berkata, Lynas Corporation tidak boleh diminta keluar dari negara ini “seperti pariah” kerana ia akan merosakkan pelaburan masa depan di Malaysia.

Sementara itu, Zuraida memberitahu beliau tidak mendengar perkataan itu yang diucapkan Perdana Menteri dalam satu video. – MalaysiaGazette

1 Komen

Comments are closed.